SHAH ALAM, 30 APRIL: Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) di Petaling wajar diperluas, khususnya bagi membantu golongan miskin bandar.
Perdana Menteri berkata kejayaan pelbagai inisiatif termasuk program jahitan di Kampung Melayu Subang, madu kelulut di Bayu Damansara dan pembuatan perabot di Bukit Lanchong membuktikan sokongan tepat mampu mencipta perubahan bermakna.
“Ini membuktikan dengan sokongan yang tepat, rakyat mampu mencipta perubahan bermakna dengan menjana pendapatan antara RM24,000 hingga RM100,000,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook, semalam.
Beliau memaklumkan perkara itu antara intipati yang ditekankan dalam Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling yang dipengerusikannya.
Selain itu, mesyuarat turut menekankan keperluan tindakan segera bagi mengurangkan kesulitan serta impak bencana terhadap rakyat sementara menunggu projek tebatan banjir jangka panjang disiapkan.
“Mesyuarat itu menumpukan kepada penelitian kemajuan pelaksanaan projek rakyat yang mendesak serta merangka penyelesaian terhadap isu berbangkit.
“Selain projek mitigasi banjir, tumpuan turut diberikan kepada penyenggaraan jalan raya, pengurusan bandar dan sosial termasuk berkaitan rumah ibadat, pengurusan sisa serta isu penternakan babi.
“Semua ini menuntut pendekatan yang lebih tersusun dan berkesan agar kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Menurutnya, usaha membasmi kemiskinan turut disentuh dalam mesyuarat berkenaan walaupun beliau dimaklumkan kemiskinan tegar telah dinoktahkan di Selangor.
“Namun, pemantauan mesti diteruskan agar tiada keluarga tercicir. Lebih penting, setiap keluarga perlu diberi peluang untuk bangkit dan diperkasa melalui latihan, sekali gus berupaya menjana pendapatan sendiri.
“Kekuatan ekonomi Selangor harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengangkat martabat hidup rakyat.
“Insya-Allah, dengan kesungguhan semua pihak, kita akan terus berusaha menyelesaikan masalah tertangguh, memperkukuh kekuatan sedia ada serta memastikan nikmat pembangunan ini benar-benar dirasai rakyat,” katanya.
Terdahulu, Anwar tiba di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) kira-kira jam 4.40 petang dan diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, bagi mempengerusikan mesyuarat yang berakhir sekitar jam 6.10 petang.
Turut hadir Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.









