ZIPS rangsang ekonomi Sabak Bernam, kata pakar

30 Apr 2026, 3:00 AM
ZIPS rangsang ekonomi Sabak Bernam, kata pakar

SHAH ALAM, 30 APR: Sabak Bernam akan berubah wajah menjadi hab ekonomi berasaskan sumber laut bernilai tinggi melalui pelaksanaan Zon Perikanan Sungai Lang (ZIPS) yang dilancar Dato’ Menteri Besar minggu lalu.

Prof Dr Yeong Yik Sung dari Institut Adaptasi Iklim dan Bioteknologi Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) juga percaya projek tersebut berupaya merangsang perindustrian, mencipta peluang kerja dan memajukan sektor hiliran.

Prof Dr Yeong Yik Sung

“Zon ini bertindak sebagai sektor ekonomi biru yang penting kerana ia memproses produk perikanan dari daerah jiran seperti Bagan Datuk (Perak) dan Kuala Selangor sekali gus memastikan wujudnya sinergi dalam wilayah tersebut,” katanya.

Pensyarah Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur UMT itu juga adalah pengarah Persatuan Akuakultur Dunia (Cawangan Asia Pasifik) dan setiausaha Rangkaian Pendidikan Perikanan ASEAN.

Bercakap kepada Media Selangor pada 28 April, beliau yakin ZIPS juga akan membantu dalam mewujudkan kesan pengganda yang menggerakkan sektor lain termasuk pelancongan dan pembuatan.

Dr Yeong juga memberitahu spesies akuakultur sesuai perlu dinilai dari segi permintaan pasaran, ketersediaan pakar tempatan dan pembangunan teknologi di negara ini.

Selain itu, beliau mengingatkan beberapa cabaran ekonomi dan pelaksanaan mesti ditangani dengan baik bagi memastikan kejayaan ZIPS terutama di tengah-tengah ketidaktentuan dunia.

Katanya, keperluan modal besar untuk infrastruktur boleh membebankan perkongsian awam-swasta, selain faktor kenaikan kos yang didorong gangguan logistik dan turun naik harga minyak.

“Dari sudut dalaman, terdapat jurang pelaksanaan yang memerlukan kepantasan pembinaan infrastruktur selari dengan penglibatan pelabur dan latihan tenaga kerja tempatan,” katanya.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Illisriyani Ismail pula menyifatkan ZIPS mampu meningkatkan sektor perikanan ekoran Selangor memiliki asas pengeluaran yang kukuh.

Prof Dr Illisriyani Ismail

Katanya, Selangor dalam kedudukan tiga negeri teratas di Malaysia dari segi pendaratan ikan selain pengeluar utama produk akuakultur terutama udang putih, udang harimau dan siakap.

“Ini bermakna negeri ini memiliki asas pengeluaran yang kuat untuk menyokong zon industri perikanan berskala besar,” kata beliau lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.