SHAH ALAM, 29 APRIL: Persiapan atlet Pahang ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 kekal berjalan seperti biasa walaupun sebelum ini timbul isu penangguhan temasya berkenaan.
Pengarah Majlis Sukan Pahang Mahathir Abdul Raffar berkata seramai 769 atlet yang disenaraikan terus memberi fokus penuh kepada latihan tanpa gangguan.
Menurutnya, ketika ini kebanyakan pasukan sudah memasuki fasa akhir persediaan menjelang temasya yang dijadual berlangsung pada Ogos, lapor Berita Harian.
“Kebiasaannya tiga bulan sebelum SUKMA, atlet berada dalam fasa pra-kejohanan yang menumpukan pemantapan taktikal, simulasi pertandingan serta peningkatan intensiti latihan.
“Dalam masa sama, aspek prestasi, mental dan pemulihan turut diberi perhatian bagi mengelakkan kecederaan,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan pengesahan SUKMA Selangor 2026 akan diteruskan selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Temasya itu dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos dengan pendekatan berhemah dari segi perbelanjaan.
Sebelum ini, cadangan penangguhan dikemukakan susulan faktor semasa termasuk krisis di Asia Barat dan pembinaan semula Stadium Shah Alam, namun persiapan atlet negeri tetap diteruskan bagi memastikan prestasi tidak terjejas.








