SHAH ALAM, 30 APRIL: Meskipun ketegangan di Asia Barat berterusan dan Selat Hormuz masih ditutup, operasi Pelabuhan Klang pada suku pertama tahun ini tidak terjejas.
Sebaliknya, jumlah pengendalian kontena (TEU) bagi tiga bulan pertama tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 5.2% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2025, iaitu mencecah 3,712,430 TEU.
Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Ean Yong Hian Wah, dalam sesi temubual bersama pengamal media Cina pada Selasa lalu berkata, berbanding 3,528,847 kontena yang dicatatkan pada Januari hingga Mac 2025, jumlah bagi tempoh yang sama tahun ini meningkat sebanyak 183,583 unit.
Beliau menjangkakan jumlah pengendalian kontena bagi tahun ini akan mencapai 15.37 juta TEU, iaitu peningkatan sebanyak 3% berbanding keseluruhan tahun 2025.
"Pada tahun 2025, Pelabuhan Klang buat pertama kalinya menduduki tempat ke-10 dalam senarai 100 pelabuhan kontena terbaik dunia. Jika prestasi cemerlang ini diteruskan tahun ini, kita berpeluang untuk naik ke tangga ke-9, mengatasi Pelabuhan Dubai yang mungkin terkesan akibat peperangan,” katanya.

Kawalan ketat pemunggahan sementara
Mengulas lanjut mengenai kemungkinan impak krisis Asia Barat terhadap Pelabuhan Klang, Ean Yong berkata perdagangan antara Pelabuhan Klang dengan negara rantau Asia Barat tidak terlalu aktif dengan jumlah pengendalian kontena yang agak rendah.
“Sebagai contoh, pada tahun 2025, urusan kontena dengan Asia Barat adalah sebanyak 627,525 unit, iaitu sekitar 3% daripada jumlah keseluruhan pelabuhan.
"Melihat kepada situasi semasa, krisis Asia Barat tidak memberi impak besar kepada Pelabuhan Klang. Kesan tersebut dipercayai hanya akan mula kelihatan pada suku kedua tahun ini,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun mendedahkan kesan sebenar konflik bukanlah jumlah kontena, sebaliknya jadual kapal yang menyebabkan kesesakan terminal pelabuhan.
"Sebagai contoh, apabila kapal kargo yang melalui Selat Melaka menuju ke Pelabuhan Dubai menghadapi situasi perang di tengah perjalanan, mereka terpaksa singgah sementara di Pelabuhan Klang. Syarikat perkapalan kemudiannya akan menghubungi pihak pelabuhan untuk meminta izin berlabuh dan memunggah barangan.
"Berdasarkan pengalaman lalu, kontena-kontena yang 'ditumpangkan' ini tidak mempunyai tempoh simpanan tetap. Ada yang tidak dialihkan dalam masa yang lama, menyebabkan ruang pelabuhan menjadi terhad dan seterusnya mengakibatkan 'kesesakan pelabuhan' (port congestion) di dalam dan di luar kawasan pelabuhan."
Bagi memastikan masalah sama tidak berulang, kedua-dua terminal- Northport dan Westport- sudah diarahkan untuk mengetatkan permohonan memunggah sementara kontena.
Menurutnya lagi, semua permohonan perlu disertakan dengan tempoh tuntutan semula dan pelan pembersihan kontena, bagi mengelak permohonan ditolak.
Ean Yong turut mendedahkan bahawa kapasiti Pelabuhan Klang kini telah mencecah hampir 70%, menjadikannya sukar untuk menampung lebih banyak kontena.
“Oleh itu, pengurusan jumlah kontena yang berkesan adalah perlu bagi memberi keutamaan kepada pengilang dan pedagang tempatan serta mengelakkan kawasan penyimpanan (yard) daripada menjadi terlalu sesak,” tambahnya.








