Bantuan rumah ibadat bergantung status pemilikan tanah

28 Apr 2026, 4:46 AM
Bantuan rumah ibadat bergantung status pemilikan tanah

SHAH ALAM, 28 APRIL: Kerajaan Negeri menolak beberapa permohonan bantuan Rumah Ibadat Bukan Islam susulan kegagalan persatuan atau pihak pengurusan mengemukakan dokumen pemilikan tanah.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS), V Papparaidu berkata permohonan itu tidak dapat dipertimbangkan kerana rumah ibadat terbabit dibina di atas tanah kerajaan.

"Kerajaan Negeri sentiasa menyokong persatuan atau pertubuhan menguruskan rumah ibadat yang menjalankan aktiviti untuk tingkat prestasi.

"Namun, bagi bantuan naik taraf atau infrastruktur, kita perlu utamakan mereka yang menjalankan aktiviti atas tanah dimiliki. Bagi dibina atas tanah kerajaan atau tiada pemilikan dokumentasi terpaksa tolak atau tangguh dahulu," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Sentosa G. Gunaraj berhubung bantuan Kerajaan Negeri dalam membantu rumah ibadat tingkat prestasi pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Terdahulu, Papparaidu memaklumkan sejumlah RM6 juta diperuntuk bagi menaik taraf 669 rumah ibadat pada tahun lalu yang mana tokong RM3.7juta, kuil (RM1.65 juta), gereja (RM541,650) dan gurdwara (RM78,200).

"Rumah ibadat yang memerlukan pembaikan atau penambahbaikan infrastruktur, Kerajaan Negeri di bawah LIMAS mempunyai peruntukan yang boleh dimohon oleh persatuan atau pertubuhan yang menyelenggara rumah ibadat selain Islam melalui Sistem Bantuan Kewangan LIMAS.

"Semua permohonan adalah tertakluk kepada pematuhan garis panduan dan peraturan yang berkuat kuasa. Ini bagi memastikan kemudahan tersebut kekal selamat, teratur dan memberi manfaat kepada komuniti setempat," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.