AGENDA

Guna istilah 'kebebasan bersuara' ikut saluran betul

16 Okt 2019, 5:36 AM
Guna istilah 'kebebasan bersuara' ikut saluran betul
Guna istilah 'kebebasan bersuara' ikut saluran betul

SHAH ALAM, 16 OKT: Istilah 'kebebasan bersuara' tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan tanpa batasan, sebaliknya perlu mengikut saluran betul, kata Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Wan Mohd Husni Abdullah.

Beliau merujuk kepada tindakan seorang graduan yang melakukan protes sambil mengangkat plakad di atas pentas sewaktu Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) kali ke-59, pada 14 Oktober lalu.

Katanya, semua warganegara perlu mendokong dan mengamalkan prinsip Rukun Negara 'Kesopanan dan Kesusilaan' bagi menjamin keharmonian negara.

"Tindakan sedemikian mencemarkan istiadat dan protokol yang seharusnya dihormati semua pihak.

"Malah, ia menunjukkan kerendahan moral dan nilainya sebagai seorang yang terpelajar, selain menjejaskan nama baik universiti pada masyarakat umum," katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini, hari ini.

Isnin lalu, video berdurasi 14 saat yang tular di Twitter menunjukkan pelajar terbabit dikenali sebagai Wong Yan Ke melaung 'ini tanah Malaysia' sambil mengangkat plakad yang tertera perkataan 'Tolak Rasis' dan 'Undur VC' sebaik menerima ijazahnya.

Berdasarkan plakad itu, Yan Ke mendesak Naib Canselor UM, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim untuk meletak jawatan kerana didakwa gagal melindungi hak pelajar dan menyelesaikan krisis kewangan universiti berkenaan, selain didakwa menjadi boneka politik.

Tndakan graduan Kejuruteraan Awam jelas mengundang kecaman pelayar maya yang kebanyakannya meluahkan rasa marah kerana dianggap biadap serta memalukan universiti.

Justeru, Mohd Husni mendesak pentadbiran UM supaya memandang serius perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menahan Sijil Ijazah Sarjana Muda pelajar berkenaan sehingga permohonan maaf kepada Naib Canselor UM, Datuk Ir Abdul Rahim Hashim dibuat.

"Yan Ke dan pihak universiti perlu duduk semeja bagi mengetahui keluh kesah pelajar yang dikatakan sebagai mewakili suara mahasiswa," katanya.

Beliau turut menggesa pihak pentadbiran universiti di negara ini supaya mengeluarkan garis panduan dan tindakan tata tertib yang lebih tegas kepada semua pelajar supaya perkara seumpama itu tidak berulang serta menjadi teladan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.