SHAH ALAM, 29 APRIL: Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfokuskan penyelesaian pelaksanaan bagi isu utama kesejahteraan rakyat.
Antara isu dibincangkan termasuk pengurusan sisa pepejal, penternakan babi, tebatan banjir, kemiskinan, rumah ibadat bukan Islam serta jalan rosak, dengan penekanan kepada penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi tindakan lebih berkesan.

Perbincangan berkaitan sisa pepejal dan penternakan babi turut mengambil kira titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang sebelum ini menekankan penyelesaian menyeluruh dan mampan.
Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri memaklumkan kadar miskin tegar di Selangor kini sifar, dengan fokus kini beralih kepada usaha mengeluarkan golongan miskin daripada garis kemiskinan melalui pendekatan lebih bersasar.

Terdahulu, Anwar tiba di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) kira-kira jam 4.40 petang dan diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Mesyuarat berakhir sekitar jam 6.10 petang.
Turut hadir Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.









