Pandu mabuk, warga emas dipenjara sebulan dan denda RM10,000

29 Apr 2026, 6:39 AM
Pandu mabuk, warga emas dipenjara sebulan dan denda RM10,000

SHAH ALAM, 29 APRIL: Dua lelaki termasuk warga emas, masing-masing dipenjara sebulan dan sehari serta denda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tawau, Sabah hari ini, atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.

Tertuduh Ho Lee Ming @ Ho Kon Fook, 75, dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh memandu Perodua Ativa di Batu 7, Jalan Apas pada jam 8.45 malam, 19 April lalu, dengan kandungan alkohol sebanyak 133 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah, melebihi had dibenarkan iaitu 50 mg.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mengaku bersalah.

Dalam rayuannya, tertuduh memaklumkan tidak bekerja dan hanya menanam bunga di rumah untuk dijual serta tinggal bersendirian.

Dalam kes berasingan, Henry Chai Hor Ming, 27, mekanik, dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas kesalahan sama.

Dia didakwa memandu Toyota Hilux dengan kandungan alkohol 122 mg dalam 100 ml darah sebelum hilang kawalan dan melanggar penghadang konkrit dalam kejadian di Jalan Sin On pada jam 1 pagi, 20 Februari lalu.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan perlu menjaga ibu bapanya serta menghantar nenek ke hospital.

Majistret Don Stiwin Malanjum, turut memerintahkan kedua-dua tertuduh hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun berkuat kuasa serta-merta.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.