Isu azan di Ampang: Orang ramai diminta bertenang, tunggu siasatan

27 Apr 2026, 8:09 AM
Isu azan di Ampang: Orang ramai diminta bertenang, tunggu siasatan

SHAH ALAM, 27 APRIL: Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu rungutan terhadap laungan azan dan kesesakan lalu lintas ketika solat Jumaat di sebuah masjid di Ampang, baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya terus memelihara keharmonian dan saling menghormati, khususnya dalam perkara yang melibatkan sensitiviti agama.

"Sebarang ketidakpuasan hati perlu disalurkan melalui saluran yang betul dan bukan dengan tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan," katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Jabatan Hal Ehwal Agama di Putrajaya hari ini seperti dilapor BH.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata kempen ‘No Hajj Without a Permit’ atau tidak boleh menunaikan haji tanpa permit dilancarkan bagi musim haji tahun ini selaras usaha kerajaan Arab Saudi.

Menurutnya, Malaysia turut menyertai Muzakarah Haji serta mengemukakan pandangan berhubung pelaksanaan kempen tersebut.

Katanya, inisiatif itu bertujuan menjaga kemaslahatan dan keselamatan jemaah haji selain mengelakkan penipuan serta kegiatan scammer yang boleh merugikan umat Islam.

"Kempen ini bertujuan memastikan semua urusan dan pengurusan haji lebih tersusun, tertib dan benar-benar dapat memenuhi keperluan jemaah," katanya.

Kempen ‘No Hajj Without a Permit’ dilancarkan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan Presiden Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdulrahman bin Abdulaziz Al-Sudais menggesa semua pihak menyokong kempen berkenaan serta bekerjasama dengan agensi keselamatan yang melaksanakannya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.