Selangor bakal perkenal latihan penjagaan, perkasa tenaga kerja sektor kebajikan

27 Apr 2026, 7:16 AM
Selangor bakal perkenal latihan penjagaan, perkasa tenaga kerja sektor kebajikan
Selangor bakal perkenal latihan penjagaan, perkasa tenaga kerja sektor kebajikan
Selangor bakal perkenal latihan penjagaan, perkasa tenaga kerja sektor kebajikan

SHAH ALAM, 27 APRIL: Selangor bakal melaksanakan latihan penjagaan tahun ini bagi melahirkan tenaga kerja terlatih dan berkemahiran dalam sektor penjagaan, sekali gus memastikan golongan rentan menerima sokongan yang selamat, menyeluruh dan berkualiti.

EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata inisiatif itu digerakkan bagi memperkukuh ekosistem penjagaan negeri dengan memberi tumpuan kepada kemahiran asas penjagaan, keselamatan, penjagaan fizikal serta pemakanan.

Menurutnya, program berkenaan akan dibangunkan secara tiga fasa menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara Wanita Berdaya Selangor dan The Asia Foundation (TAF).

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari ketika sesi pertanyaan lisan menerusi Persidangan Penggal Keempat Kali Ke 15 Dewan Negeri Selangor di , Shah Alam pada 21 April 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

“Fasa satu melibatkan pembangunan silibus dan modul, pendigitalan modul dan pelaksanaan projek rintis latihan (fasa dua) dan pemurnian kurikulum bagi pensijilan profesional.

“Pemurnian kurikulum dibuat melalui jawatankuasa panel pakar yang bertanggungjawab menyemak, memurnikan dan mengesahkan setiap input modul agar selari dengan peraturan serta keperluan industri semasa.

“Penglibatan pakar ini juga menjadi pemacu utama dalam proses akreditasi dan menaik taraf sijil bersama Universiti Selangor (UNISEL) dan modul yang telah melalui proses pemurnian akan dibentangkan kepada UNISEL untuk proses pensijilan profesional,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wakil rakyat Meru mengenai latihan penjagaan yang disediakan di Selangor.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri kini dalam rangka melaksanakan pendigitalan modul latihan asas bagi membolehkan ia diakses secara dalam talian melalui platform digital yang dibangunkan.

“Sasaran termasuklah semua orang awam yang berminat untuk menjalani latihan penjagaan terutama mereka yang sedang menjalankan tugas penjagaan bagi ahli keluarga, sukarelawan penjagaan dan pekerja di sektor formal.

“Proses pendigitalan melibatkan transformasi kandungan teori ke dalam bentuk video tutorial interaktif, modul e-pembelajaran dan kuiz atas talian yang boleh diakses secara fleksibel oleh peserta kursus asas,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfal Saari bergambar pada pelancaran Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor di Dewan Negeri Selangor pada 27 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Selangor menjadi negeri pertama melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan sebagai persediaan menghadapi penuaan penduduk.

Dasar hingga 2030 itu memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu advokasi dan promosi, tadbir urus dan kawal selia, pembangunan tenaga kerja penjagaan, pelaburan dan kerjasama serta inovasi, teknologi dan data.

Ia merangkumi penjagaan warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya serta pengukuhan sokongan kepada penjaga formal dan tidak formal.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.