Pelantikan Abdul Halim diharap perkukuh agenda antirasuah negara - MB

27 Apr 2026, 12:00 AM
Pelantikan Abdul Halim diharap perkukuh agenda antirasuah negara - MB

AMPANG JAYA, 27 APRIL: Pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuat kuasa 13 Mei ini diharap mampu memperkukuh usaha pembanterasan rasuah di negara ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelantikan itu juga diharap dapat memenuhi dan meneruskan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani untuk menoktahkan amalan rasuah di negara ini.

“Tahniah diucapkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu. Semoga beliau dapat memenuhi dan meneruskan aspirasi Perdana Menteri dan Kerajaan Madani untuk melaksanakan pembanterasan rasuah.

“Yang saya kira secara majoriti rakyat dalam negara kita memang mahukan pembersihan dan juga aktiviti ini dapat dinoktahkan demi kesejahteraan dan juga kemakmuran negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan Insentif Haji Muassasah 2026 kepada 236 bakal jemaah melibatkan DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati, di sini semalam.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Insentif Haji Muassasah 2026 Peringkat DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati, Ampang Jaya pada 26 April 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Kelmarin Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan Abdul Halim dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, berkuat kuasa 13 Mei ini.

Pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan dibuat selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Pelantikan Abdul Halim bagi menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menyandang jawatan itu dan dijadualkan tamat pada 12 Mei ini.

Untuk rekod, Azam telah tiga kali dilantik semula bagi memegang jawatan berkenaan, masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024, 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025 serta 13 Mei 2025 hingga 12 Mei tahun ini.

Beliau mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 bagi menggantikan Latheefa Beebi Koya yang memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.