EXCO kecam hantaran hina Sultan, gesa tangkap dalang

26 Apr 2026, 2:15 PM
EXCO kecam hantaran hina Sultan, gesa tangkap dalang

SHAH ALAM, 26 APRIL: Hantaran media sosial yang berunsur penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj disifatkan sebagai melampaui batas dan biadab.

EXCO Belia Najwan Halimi berkata kandungan berkenaan berpotensi mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian negeri dan negara.

“Sebagai anak jati Selangor yang taat dan kasih kepada Baginda, saya sendiri berasa terhina melihat suntingan imej yang ditularkan ini.

“Justeru, saya menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas terhadap dalang perbuatan ini.

“Ini merupakan penghinaan terbuka terhadap Sultan Selangor dan satu bentuk pelecehan terhadap Kerajaan Negeri,” katanya menerusi kenyataan.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu

Sementara itu, EXCO Sumber Manusia V Papparaidu mengajak semua masyarakat untuk bersama-sama memelihara perpaduan demi memastikan negeri kekal aman, stabil dan sejahtera.

Beliau turut mengecam sebarang penyebaran kandungan berunsur penghinaan, provokasi atau cubaan mengaitkan institusi diraja dengan perkara tidak wajar.

“Perbuatan ini tidak bertanggungjawab dan berpotensi menggugat keharmonian serta kestabilan sosial di Selangor,” katanya.

Terdahulu, EXCO Pelaburan Ng Sze Han turut mengecam hantaran berkenaan dan menyeru polis supaya mengambil tindakan tegas agar pihak terbabit dikenakan hukuman berat selaras dengan peruntukan undang-undang negara.

Kecaman turut dibuat beberapa lagi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah, EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah serta EXCO Perpaduan Dato’ Rizam Ismail.

Gambar khinzir yang memakai pakaian adat istana itu tular di media sosial sejak semalam bersama ayat yang menghina Sultan Selangor.

Sementara itu, portal berita Mandarin, Oriental Daily menafikan terbabit dengan hantaran terbabit memandangkan pihak tidak bertanggungjawab itu menggunakan logo syarikat berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.