SABAK BERNAM, 25 APRIL: Kerajaan Selangor hari ini menyerahkan kunci 147 unit Rumah Idaman Qaseh di Taman Air Manis, sekali gus menamatkan penantian panjang pembeli projek perumahan mampu milik yang sebelum ini terbengkalai.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek pembangunan Taman Air Manis yang dilancarkan pada 2013 itu pernah berdepan pelbagai isu sehingga dibawa ke pendengaran Jawatankuasa Pilihan Khas Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) di Dewan Negeri.
Menurutnya, selepas diberi amanah menerajui pentadbiran negeri, beliau telah mengarahkan supaya projek berkenaan diselesaikan segera demi kepentingan rakyat.

“Pentadbiran ini komited untuk menoktahkan masalah projek terbengkalai yang memberi kesan kepada rakyat. Hari ini projek ini akhirnya berjaya direalisasikan dan dapat diserahkan kepada pemilik.
“Ia membuktikan komitmen Kerajaan Selangor dalam memastikan rakyat memiliki akses kepada perumahan mampu milik yang selesa, berkualiti dan berharga berpatutan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Qaseh di Taman Air Manis, hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan projek itu melibatkan kerjasama Perbadanan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dalam usaha memperluaskan pemilikan rumah pertama kepada rakyat.

Projek di atas tanah seluas 25 ekar itu merangkumi 147 unit rumah teres dan kembar serta 26 unit kedai dua tingkat yang dijangka merancakkan ekonomi setempat.
Antara kemudahan disediakan termasuk taman permainan, trek larian, surau dan tadika bagi mewujudkan persekitaran komuniti yang lebih selesa dan berdaya huni.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta bagi memastikan lebih banyak projek perumahan mampu milik dapat direalisasikan untuk manfaat rakyat.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik ini supaya lebih banyak projek perumahan mampu milik dapat dibangunkan untuk manfaat rakyat,” katanya.






