Selangor FC intai pentas ACL, tunggu keputusan AFC

24 Apr 2026, 9:46 AM
Selangor FC intai pentas ACL, tunggu keputusan AFC
Selangor FC intai pentas ACL, tunggu keputusan AFC

SHAH ALAM, 24 APRIL: Selangor FC masih menyimpan impian besar untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan meskipun peluang untuk layak ke kejohanan itu ketika ini dilihat masih belum pasti.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata pasukan itu mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung cadangan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk menambah slot penyertaan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Menurut beliau, pihaknya belum dapat membuat sebarang kesimpulan selagi keputusan rasmi AFC belum diumumkan termasuk implikasinya terhadap Liga Malaysia.

“Saya fikir kami hanya tunggu dan lihat sahaja (keputusan AFC). Bagi kami, selagi perkara itu belum berlaku dan selagi belum tahu dengan jelas apa implikasinya terhadap Liga Malaysia dan pasukan terbabit, kami akan tunggu,” katanya.

Beliau menegaskan, Selangor FC mempunyai aspirasi sama seperti kelab lain untuk beraksi di pentas Asia setiap tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon ditemui media selepas Majlis Serahan Sumbangan Atlit Sukan Yayasan MBI di Ibu Pejabat MBI di Shah Alam pada 9 September 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Sudah tentu kami mahu beraksi di pentas Asia setiap tahun, namun kami juga tahu bahawa kami perlu bekerja keras dan kekal konsisten,” katanya.

Tambahnya, pasukan perlu memastikan prestasi sentiasa berada pada tahap tertinggi bagi merealisasikan impian tersebut.

“Namun, jika kami ada peluang untuk beraksi di peringkat Asia, kami akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk berada di sana,” jelasnya lagi, lapor Berita Harian.

Terdahulu, Jawatankuasa Pertandingan AFC mengesyorkan penambahan jumlah kelab bertanding dalam ACLE daripada 24 kepada 32 pasukan bermula musim depan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John memaklumkan bahawa tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini berhubung pengagihan slot tersebut.

Dalam saingan domestik, Selangor FC kini bersaing sengit dengan Kuching City bagi merebut kedudukan naib juara Liga Super yang menawarkan tiket ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim depan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.