Senarai calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong - Anwar

24 Apr 2026, 6:36 AM
Senarai calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong - Anwar

SENARAI NAMA CALON KP SPRM TELAH DIPERSEMBAH KEPADA AGONG - PM ANWAR

PASIR GUDANG, 24 APRIL: Senarai calon bagi jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata senarai itu merangkumi individu yang layak untuk menerajui badan pencegahan rasuah negara itu.

Bercakap kepada media selepas menghadiri makan tengah hari dan menyantuni komuniti di Pasar Tani Kekal Permas Jaya di sini hari ini, Anwar sempat berseloroh apabila ditanya tentang jumlah calon yang disenaraikan untuk pertimbangan Seri Paduka Baginda.

“Ada 120 (nama calon yang diserahkan),” kata beliau sebelum bergerak menuju ke Masjid Bandar Permas Jaya di sini bagi menunaikan solat Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata butiran mengenai senarai pendek calon tidak akan didedahkan buat masa ini dan hanya akan diumumkan kemudian.

“Itu (senarai pendek) … akan diumumkan nanti," katanya ringkas.

Terdahulu, menurut hantaran di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima menghadap Perdana Menteri hari ini.

Semalam, Seri Paduka Baginda bertitah Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu akan dipilih bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama-sama komuniti setempat di Pasar Tani Kekal Permas Jaya serta meninjau barangan keperluan asas yang dijual.

Ketibaan beliau pada 12.33 tengah hari tadi disambut oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

Perdana Menteri kemudiannya meneruskan perjalanan ke Masjid Bandar Permas Jaya untuk menunaikan solat Jumaat.

-- BERNAMA

TAG: Anwar Ibrahim, persembah, senarai calon, Ketua Pesuruhjaya, SPRM

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.