SHAH ALAM, 24 APRIL: Identiti mangsa maut dalam kemalangan di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) semalam dikenal pasti sebagai pempengaruh permainan video dari Bangladesh, Muzahid Millad, 22.
Mangsa meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya bersama isteri dirempuh ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Isterinya, Nafisa Tabassum Adiba, 23, dilaporkan cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pasangan itu difahamkan baru tiba di Malaysia dari Habiganj, Bangladesh untuk bercuti selama seminggu di ibu negara sebelum tragedi tersebut berlaku.
Pemergian Muzahid mencetuskan kesedihan dalam kalangan komuniti permainan dalam talian di Bangladesh.
Di media sosial, tanda pagar seperti #JusticeForMuzahid, #JusticeForAdvanceGaming dan #BangladeshDemandsJustice mula tular dengan gesaan agar tindakan tegas diambil terhadap pelaku.
Saluran YouTube miliknya, Advance Gaming yang mempunyai lebih 777,000 pengikut turut memuat naik kenyataan dalam bahasa Bengali mengesahkan kematiannya serta memohon doa orang ramai.
Terdahulu, polis menahan seorang anggota tentera berusia 31 tahun yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan maut itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, bapa saudara Nafisa, Mohibul Hassan, 50, menuntut keadilan selain berharap tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang Malaysia.




