Bapa maut dipukul anak, suspek dipercayai ada masalah mental

23 Apr 2026, 12:27 PM
Bapa maut dipukul anak, suspek dipercayai ada masalah mental

SHAH ALAM, 23 APRIL: Lelaki warga emas berusia 83 tahun meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai dipukul anak lelakinya dalam kejadian di Kampung Masjid Bayam, Tanah Merah, Isnin lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) jam 6.30 petang semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa menegur anak lelakinya yang berusia 41 tahun.

“Difahamkan, kejadian tercetus apabila bapanya menegur suspek. Mangsa dikenali sebagai seorang bapa yang tegas,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah hari ini.

Menurutnya, teguran itu menyebabkan suspek bertindak di luar kawalan sebelum menumbuk mangsa secara tiba-tiba sehingga terjatuh ke lantai simen.

“Teguran berkenaan menyebabkan suspek terkejut, memusing badan dan menumbuk mangsa secara tiba-tiba sehingga terjatuh ke lantai simen,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu turut disaksikan adik suspek yang berada di lokasi ketika insiden berlaku.

“Selepas insiden itu, suspek dalam keadaan terpinga-pinga kemudian naik ke tempat tidur,” katanya lagi, lapor Harian Metro.

Mangsa kemudian dibawa oleh ahli keluarga ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke HRPZ II.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat kecederaan serius yang dialaminya.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan daya tumpul di bahagian kepala yang menyebabkan keretakan tengkorak serta pendarahan dalam otak,” katanya.

Mohd Yusoff memaklumkan, suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan tahap kesihatan mentalnya akan ditentukan oleh pakar perubatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.