40 peratus pekerja berisiko hilang kerja jika industri tidak dibantu

23 Apr 2026, 9:31 AM
40 peratus pekerja berisiko hilang kerja jika industri tidak dibantu

SHAH ALAM, 23 APRIL: Sehingga 40 peratus pekerja dalam sektor penting seperti logistik, perkhidmatan dan pembuatan berisiko hilang pekerjaan jika industri tidak dibantu ketika ekonomi tidak menentu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron berkata keadaan ini boleh memberi kesan besar kepada pekerjaan di Selangor kerana ramai penduduk bergantung kepada sektor swasta.

“Menurut data PERKESO, Selangor mempunyai 2.29 juta pekerja aktif pada 2025. Ini bermakna sebahagian besar daripada kira-kira tujuh juta penduduk bergantung kepada ekonomi sektor swasta,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu membantu industri dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya perniagaan dapat terus berjalan dan pekerjaan dapat dikekalkan.

“Kerajaan boleh laksanakan program intervensi awal untuk bantu industri dan PKS. Pakej ekonomi RM131 juta yang diumumkan sebelum ini juga boleh diperluas,” katanya.

Danial turut mencadangkan supaya projek pelaburan baharu memberi keutamaan kepada pekerja tempatan.

“Ini membolehkan penduduk bekerja dekat dengan rumah dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam,” katanya.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan tentang akses ‘first mile’ dan ‘last mile’ bagi projek LRT3.

“Ramai penduduk mungkin masih bergantung kepada KTM Komuter kerana jarak rumah dengan stesen LRT agak jauh,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kesesakan dan masalah parkir di kawasan logistik di Shah Alam juga perlu ditangani dengan menambah baik sistem pengangkutan awam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.