Parkir terhad, ADN Kajang cadang pembangunan semula Pasar Kajang

23 Apr 2026, 7:01 AM
Parkir terhad, ADN Kajang cadang pembangunan semula Pasar Kajang

SHAH ALAM, 23 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong mencadangkan pembangunan semula secara menyeluruh di Pasar Kajang bagi mengatasi masalah kekurangan parkir yang semakin meruncing.

Beliau berkata, 92 petak parkir sedia ada di pasar berkenaan tidak mampu menampung keperluan kira-kira 160 penjaja selain kehadiran ratusan pengunjung setiap hari.

“Setiap hari rakyat mengeluh kena saman, kena kunci tayar. Isu parkir di kawasan ini jelas tidak mencukupi, walaupun dikatakan cukup.

“Sehingga kini, tiada cadangan konkrit untuk menambah parkir, dan perbincangan dengan pihak berkaitan juga tidak berjalan dengan baik,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong berucap ketika Mesyuarat pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang kelima Belas di Shah Alam pada 23 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Dalam pada itu, David turut mencadangkan agar pihak berkaitan mengadakan perbincangan serius bersama peniaga bagi menangani isu tersebut.

Tegasnya, sebarang keputusan berkaitan pembangunan pasar itu tidak boleh dibuat tanpa libat urus dengan peniaga.

“Peniaga di sini sudah berniaga 20 hingga 30 tahun, mereka lebih memahami keperluan sebenar di lapangan.

“Pasar Kajang menerima peruntukan RM15 juta untuk kerja naik taraf, persoalannya, mengapa isu parkir masih belum menemui jalan penyelesaian? Isu ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Kita perlu cari penyelesaian yang praktikal dan segera,” ujarnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.