SHAH ALAM, 22 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menggagalkan cubaan penyelewengan diesel melibatkan sebuah lori tangki, hasil rondaan di sebuah stesen minyak di sekitar Pandamaran, Klang, hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor Mohd Hanizam Kechek berkata pengisian diesel dilakukan pada lori itu dikesan anggota rondaan kira-kira 3 petang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati tangki asal lori itu telah diubah suai untuk tujuan pemindahan bahan api ke tangki tambahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata keseluruhan sitaan dianggar bernilai RM62,000 termasuk lori tangki berisi kira-kira 1,000 liter diesel itu manakala hasil rondaan anggota bertugas di stesen minyak itu berjaya menyelamatkan nilai subsidi negara mencecah RM6,000.
Mohd Hanizam berkata pemandu lori berkenaan iaitu lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an didapati tidak mempunyai dokumen sah berkaitan pemilikan dan pengangkutan bahan api diesel.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 termasuk kemungkinan tindakan terhadap pihak stesen minyak mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.
Mohd Hanizam berkata KPDN Selangor telah menjalankan 852 pemeriksaan menerusi Ops Tiris 4.0 sejak 16 Mac hingga semalam merangkumi 676 stesen minyak, 24 pemborong bahan api, 146 premis runcit bukan petroleum, sebuah kedai perkakasan berpermit barang kawalan serta lima stor haram.
Nilai keseluruhan sitaan, katanya adalah melebihi RM300,000.
-- BERNAMA
TAG: KPDN, Selangor, penyelewengan, diesel, Ops Tiris, lori tangki








