Dua dekad menjunjung amanah, memacu integriti: Antara retorik, realiti dan masa depan Malaysia

22 Apr 2026, 10:15 AM
Dua dekad menjunjung amanah, memacu integriti: Antara retorik, realiti dan masa depan Malaysia

Tanggal 23 April 2026 bukan sekadar menandakan ulang tahun ke-22 penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM), tetapi mengundang satu renungan yang lebih mendalam: sejauh manakah integriti benar-benar telah berakar dalam jiwa masyarakat Malaysia? Dengan tema “Menjunjung Amanah, Memacu Integriti”, sambutan ini wajar dibaca bukan sebagai perayaan simbolik, tetapi sebagai titik semak nasional terhadap keberkesanan usaha membina sebuah negara yang bukan sahaja maju, tetapi juga bermaruah.

Sejak diasaskan pada tahun 2004 hasil ilham Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, IIM diposisikan sebagai arkitek utama dalam membudayakan integriti. Namun, selepas dua dekad, persoalan kritikal perlu diajukan: adakah integriti telah menjadi budaya, atau masih kekal sebagai slogan yang sering diulang tetapi kurang dihayati?

Antara Aspirasi Besar dan Realiti Sosial

Penubuhan IIM seiring dengan pelancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) merupakan langkah berani kerajaan ketika itu untuk menginstitusikan nilai integriti dalam pembangunan negara. PIN bukan sekadar dokumen dasar, tetapi sepatutnya menjadi kompas moral dalam pentadbiran dan kehidupan bermasyarakat.

Namun, realiti hari ini menunjukkan bahawa cabaran integriti semakin kompleks. Isu rasuah, salah guna kuasa, ketirisan, dan defisit kepercayaan terhadap institusi serta kerapuhan institusi keluarga masih menghantui landskap negara. Ini bukan sekadar kegagalan sistem, tetapi juga mencerminkan jurang antara dasar dan pelaksanaan.

Dalam konteks ini, peranan IIM menjadi lebih kritikal. Ia bukan lagi sekadar penyedia latihan atau penganjur program, tetapi perlu berfungsi sebagai “kompas moral” yang berani menegur, mencabar status quo, dan memacu perubahan budaya secara menyeluruh.

Jejak Dua Dekad: Kejayaan yang Tidak Boleh Dinafikan

Adalah tidak adil untuk menafikan sumbangan IIM sepanjang 22 tahun penubuhannya. Dalam tempoh ini, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan merentasi sektor awam, swasta, dan masyarakat sivil.

  • Antara pencapaian signifikan termasuk:

  • Pembangunan modul latihan integriti yang komprehensif untuk penjawat awam dan sektor korporat;

  • Pelaksanaan program advokasi dan kesedaran yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat;

  • Penghasilan penyelidikan dan penerbitan yang memperkukuh wacana integriti nasional;

  • Penglibatan aktif dalam menyokong pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS)

Lebih penting, IIM telah berjaya menjadikan istilah “integriti” sebagai sebahagian daripada kosa kata arus perdana. Dua dekad lalu, integriti mungkin hanya difahami dalam konteks sempit, tetapi hari ini ia telah berkembang menjadi konsep yang merangkumi tadbir urus, etika kerja, dan tanggungjawab sosial.

Namun, kejayaan ini juga membawa satu paradoks: apabila sesuatu nilai menjadi popular, ia berisiko menjadi retorik kosong jika tidak disokong dengan penghayatan yang tulen.

Pendekatan Baharu: Dari Program ke Impak

Sambutan ulang tahun ke-22 IIM memperlihatkan peralihan strategi yang lebih jelas – daripada pendekatan berasaskan aktiviti kepada pendekatan berasaskan impak.

Pelancaran buku “2 Dekad Integriti: Menjunjung Amanah, Memacu Integriti” bukan sekadar dokumentasi sejarah, tetapi usaha membina memori institusi yang penting untuk kesinambungan dasar. Dalam masa yang sama, inisiatif seperti podcast “Bikin Serupa Cakap” menunjukkan kesediaan IIM menyesuaikan diri dengan ekosistem komunikasi digital yang lebih dinamik dan inklusif.

Kerjasama dengan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang dipatrikan dengan menandatangani Memorendum Persefahaman (MoU) serta pelantikan Duta Integrity Youth Ambassador (IYA) pula mencerminkan strategi jangka panjang: membina generasi masa depan yang bukan sahaja kompeten, tetapi juga berprinsip.

Namun, persoalan kritikal tetap wujud: sejauh mana program-program ini mampu mengubah tingkah laku, bukan sekadar meningkatkan kesedaran?

Dalam dunia dasar awam, kesedaran tanpa perubahan tingkah laku adalah kegagalan yang terselindung.

NIES: Wajah Baharu atau Ulangan Lama?

Penggubalan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) menandakan fasa baharu dalam agenda integriti negara. Digandingkan dengan NACS 2024-2028, pendekatan ini dilihat lebih tersusun dan bersepadu.

Namun, sejarah dasar awam di Malaysia menunjukkan bahawa cabaran sebenar bukan terletak pada kekurangan strategi, tetapi pada pelaksanaan yang konsisten dan akauntabiliti yang tegas.

Jika NIES sekadar menjadi dokumen baharu tanpa mekanisme pemantauan yang berkesan, ia berisiko menjadi hebat di atas kertas, tetapi terhad dalam realiti.

Sebaliknya, jika dilaksanakan dengan pendekatan berasaskan data, pengukuran impak, dan keterlibatan masyarakat secara aktif, NIES berpotensi menjadi titik perubahan sebenar yang akan membawa Malaysia ke satu fasa tertinggi dalam pembudayaan integriti masyarakatnya.

Integriti: Isu Struktur, Bukan Sekadar Moral Individu

Salah satu kelemahan utama dalam wacana integriti di Malaysia ialah kecenderungan melihatnya sebagai isu moral individu semata-mata. Hakikatnya, integriti adalah isu struktur.

Sistem yang lemah, proses yang tidak telus, dan budaya organisasi yang permisif terhadap salah laku akan melahirkan individu yang cenderung untuk menyimpang – walaupun mereka memahami nilai integriti.

Oleh itu, usaha IIM akan bergerak melangkaui ceramah dan latihan. IIM akan terlibat secara lebih aktif dalam:

  • Reformasi sistem dan prosedur

  • Pengukuhan mekanisme semak dan imbang

  • Pembudayaan akauntabiliti dalam organisasi

  • Penggunaan teknologi untuk meningkatkan ketelusan

Dalam erti kata lain, integriti perlu direka dalam sistem, bukan sekadar diajar dalam bilik latihan.

Tadbir Urus Korporat vs Tadbir Urus Insan

Dalam konteks tadbir urus korporat (corporate governance), agenda integriti yang dipelopori oleh IIM tidak boleh dipisahkan daripada keperluan memperkukuh struktur tadbir urus organisasi yang telus, berakauntabiliti dan berasaskan prinsip semak dan imbang. Tadbir urus korporat yang berkesan bukan sekadar pematuhan kepada peraturan, tetapi menuntut budaya organisasi yang menolak kompromi terhadap salah laku, termasuk rasuah, penyelewengan dan konflik kepentingan. Dalam hal ini, peranan IIM menjadi signifikan dalam membimbing organisasi – khususnya sektor awam dan GLC – untuk menginstitusikan amalan terbaik seperti pengurusan risiko integriti, kod etika yang berfungsi, serta mekanisme pelaporan salah laku (whistleblowing) yang selamat. Selari dengan kerangka Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional, pengukuhan tadbir urus korporat adalah asas penting dalam memastikan integriti bukan sekadar slogan organisasi, tetapi diterjemahkan dalam keputusan, dasar dan tindakan harian.

Namun, kekuatan sistem semata-mata tidak mencukupi tanpa dipacu oleh tadbir urus insan (human governance) – iaitu keupayaan individu untuk bertindak berlandaskan nilai, etika dan kesedaran moral yang tinggi. Pendekatan ini menekankan pembangunan dalaman insan seperti kejujuran, rasa tanggungjawab, dan keinsafan terhadap amanah yang dipikul, yang tidak boleh dipaksakan melalui undang-undang semata-mata. Seperti yang digariskan sebelum ini, usaha IIM melalui pendidikan awal, program belia seperti IYA dan pensijilan seperti SPKI mencerminkan peralihan ke arah membina “inner compass” dalam diri setiap individu. Tadbir urus insan melengkapkan tadbir urus korporat dengan memastikan setiap sistem yang dibina digerakkan oleh manusia yang berintegriti, sekali gus menjadikan agenda pembudayaan integriti lebih mampan dan berakar dalam masyarakat.

Dari Sekolah ke Rumah: Membina Generasi Berintegriti

Pendekatan IIM yang memberi penekanan kepada pendidikan awal adalah langkah yang tepat. Integriti tidak boleh dibentuk secara segera dalam usia dewasa; ia perlu disemai sejak kecil.

Program seperti Modul Integriti Kanak-Kanak (MIKa) dan Modul Integriti Keluarga (MIKe) menunjukkan kesedaran bahawa keluarga adalah institusi pertama dalam pembentukan nilai.

Namun, cabaran sebenar ialah memastikan modul ini tidak hanya kekal sebagai bahan latihan, tetapi diterjemahkan dalam amalan harian.

Di sinilah peranan ibu bapa, guru, dan komuniti menjadi penentu. Tanpa sokongan ekosistem sosial yang kukuh, usaha IIM akan terbatas dan tidak mustahil ia akan gagal secara total. Ini kita khuatiri.

Ke Hadapan: Antara Harapan dan Tuntutan

Selepas 22 tahun, IIM berada di persimpangan penting. Ia telah membina asas yang kukuh, tetapi masa depan menuntut lebih daripada itu.

Beberapa keutamaan strategik perlu menjadi perhatian IIM:

  • Pengukuran impak yang jelas – bukan sekadar bilangan program, tetapi perubahan tingkah laku.

  • Pendekatan merentas sektor – melibatkan sektor swasta dan masyarakat sivil secara lebih agresif.

  • Keberanian institusi – berperanan sebagai suara moral yang bebas dan berprinsip.

  • Pendigitalan agenda integriti – memanfaatkan teknologi untuk ketelusan dan pendidikan

Lebih penting, integriti perlu dilihat sebagai kelebihan kompetitif negara. Dalam dunia global yang semakin telus, negara yang berintegriti tinggi akan lebih dipercayai oleh pelabur, rakan dagang, dan komuniti antarabangsa.

Penutup: Menjunjung Amanah, Bukan Sekadar Mengulang Slogan

Dua dekad perjalanan Institut Integriti Malaysia adalah kisah tentang usaha, pencapaian, dan juga cabaran yang belum selesai. Integriti telah berjaya diangkat sebagai agenda nasional, tetapi perjalanan untuk menjadikannya budaya masih panjang.

Hakikatnya, integriti tidak boleh dipaksakan melalui dasar semata-mata. Ia perlu dihidupkan melalui teladan, diperkukuh melalui sistem, dan dipelihara melalui kesedaran kolektif.

Dalam era Kerajaan MADANI, tuntutan terhadap integriti menjadi lebih mendesak. Rakyat bukan sahaja mahu mendengar tentang integriti, tetapi mahu melihat dan merasainya dalam kehidupan seharian.

Akhirnya, persoalan yang perlu kita jawab bersama bukanlah “apa yang telah dilakukan oleh IIM selama 22 tahun”, tetapi “apa yang akan kita sama-sama lakukan sebagai rakyat Malaysia untuk memastikan integriti benar-benar menjadi budaya?”.

Usaha membudayakan integriti bukanlah usaha IIM semata, tetapi ia perlu penglibatan semua.

Kerana di hujung segala dasar dan strategi, integriti tetap bermula dengan pilihan – pilihan untuk jujur, amanah, dan bertanggungjawab.

Dan di situlah letaknya masa depan negara.

Datuk Seri Noridah Abdul Rahim adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.