149 warga MBPJ terima anugerah cemerlang, 25 pesara turut diraikan

22 Apr 2026, 1:29 AM
149 warga MBPJ terima anugerah cemerlang, 25 pesara turut diraikan

PETALING JAYA, 22 APRIL: Seramai 149 kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan kepada masyarakat.

Turut diraikan 25 pesara pada majlis Sanjungan Budi Pesara 2026 selain lima kakitangan juga menerima Anugerah Khas Datuk Bandar.

Kesemua anugerah disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, diiringi Datuk Bandar Petaling Jaya Dato’ Mohamad Zahri Samingon serta Timbalannya Aznan Hassan.

Dalam ucapannya, Ahmad Fadzli menekankan kepentingan integriti dan kerjasama dalam kalangan warga kerja MBPJ bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terus berada pada tahap terbaik.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berucap dalam majlis anugerah perkhidmatan cemerlang 2025 dan sanjungan budi pesara 2026 di Hotel Armada, Petaling Jaya pada 21 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Laksana tugas diberikan dengan berintegriti dan selesaikan masalah atau aduan dengan baik. Susun semula sistem dan sentiasa kemas kini media sosial kerana dari situ rakyat melihat serta mencari maklumat.

“Anugerah diterima merupakan cerminan kepada majlis dan kecemerlangan bandar raya ini adalah hasil kerjaberpasukan. Mainkan peranan masing-masing dengan baik dan terus bekerjasama,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Zahri berkata amanah sebagai warga pihak berkuasa tempatan adalah tanggungjawab besar dalam memastikan kebajikan komuniti terus terpelihara.

Datuk Bandar Petaling Jaya Dato’ Mohamad Zahri Samingon berucap dalam majlis anugerah perkhidmatan cemerlang 2025 dan sanjungan budi pesara 2026 di Hotel Armada, Petaling Jaya pada 21 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Tugas dan amanah diberikan amat besar dan kita junjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk turun padang selesaikan masalah dihadapi rakyat.

“Bagi penerima anugerah, jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus bekerja dan terus menyumbang khidmat terbaik, namun yang tidak menerima tahun ini jangan patah semangat,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan MBPJ sentiasa memantau prestasi kontraktor bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual serta piawaian ditetapkan.

“Kita ada tatacara operasi standard (SOP) bagi setiap projek khususnya, jika ada masalah penyelia perlu laporkan supaya tindakan dapat diambil. Ini supaya memastikan integriti diutamakan.

“Bagi kakitangan pula, kita ada lembaga tatatertib dan unit integriti, sekiranya ada laporan semakan akan dilakukan sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (tengah) bersama Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon bergambar dalam majlis anugerah perkhidmatan cemerlang 2025 dan sanjungan budi pesara 2026 di Hotel Armada, Petaling Jaya pada 21 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Terdahulu, pesara yang diraikan turut menerima insentif khas daripada MBPJ berupa pakej umrah bagi yang beragama Islam, manakala lawatan ke tempat keagamaan untuk bukan Islam, masing-masing bernilai RM8,000 sebagai penghargaan atas jasa dan khidmat bakti mereka.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.