SHAH ALAM, 21 APRIL: Selangor menjadi peneraju dalam bidang pertanian moden (smart farming) dengan penyertaan seramai 9,200 pengusaha melibatkan tanaman sayuran, buah-buahan dan padi.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata ketika ini Kerajaan Negeri giat mempromosi serta memberi galakan dan bantuan dari segi teknikal bagi projek tanaman baharu berkonsepkan 'plant factory' atau kilang tanaman.
“Konsep tanaman 'plant factory' ini adalah merupakan tanaman di dalam bangunan dan dikawal sepenuhnya secara atas talian dengan penggunaan sistem teknologi internet kebendaan (loT).
“Tanaman di dalam bangunan yang dikawal secara atas talian mampu memberikan hasil yang lebih banyak dalam jangka masa yang singkat,” katanya pada sesi pertanyaan di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengenai usaha Kerajaan Negeri bagi menjamin keselamatan makanan di Selangor ketika ketidaktentuan global yang masih berterusan.
Izham menambah, sebanyak 11 syarikat sedang mengusahakan konsep kilang tanaman yang diusahakan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Selangor.
Selain itu, katanya, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat turut mengusahakan 260,000 polibeg tanaman cili, dengan 16,000 daripadanya menggunakan seratus peratus kaedah sistem loT.
ADN Pandan Indah itu turut menggalakkan penggunaan secara optimum tanah sedia ada khususnya di kawasan bandar atau perumahan untuk dijadikan sebagai kawasan pertanian berkonsepkan kebun komuniti.
“Terdapat 231 kebun komuniti di Selangor yang aktif dan ada di antaranya menggunakan kaedah pertanian moden seperti penggunaan sistem perlindungan hujan (SPH) yang lengkap dengan sistem loT bagi pengawalan baja dan air, terutamanya bagi penanaman melon dan cili.
“Kaedah ini dapat mengeluarkan hasil yang tinggi dengan penggunaan tanah yang lebih sedikit berbanding pertanian secara konvensional,” katanya.
Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif perluasan pertanian berskala besar bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada sumber makanan import.
Selain itu, pelaksanaan program penanaman padi lima musim di beberapa kawasan strategik juga akan dipercepat dan diperluas pelaksanaannya dalam RMK13.








