Pakej RM131 juta Selangor bukti tindakan proaktif tangani krisis global

21 Apr 2026, 2:00 AM
Pakej RM131 juta Selangor bukti tindakan proaktif tangani krisis global

SHAH ALAM, 21 APRIL: Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor berjumlah RM131 juta yang diperkenalkan susulan ketidaktentuan ekonomi global menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan rakyat dan industri.

EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim berkata inisiatif yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari minggu lalu itu bertujuan mengurangkan kesan krisis tenaga global serta ketegangan geopolitik di Asia Barat terhadap ekonomi negeri.

Menurutnya, pakej tersebut membuktikan pendekatan proaktif Selangor dalam melindungi rakyat, perniagaan dan industri ketika ekonomi dunia tidak menentu.

“Pakej rangsangan ini antara yang terawal diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri di Malaysia bagi menangani tekanan ekonomi akibat faktor global.

“Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan kepada sektor yang paling terjejas supaya perniagaan dan perkhidmatan dapat terus beroperasi dengan lancar,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui pada program Tautan Muhibah anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, semalam.

Pada 16 April lalu, Amirudin mengumumkan pelaksanaan fasa pertama pakej tersebut bagi mengukuhkan daya tahan ekonomi negeri.

Antara langkah yang dilaksanakan ialah pemberian baucar RM100 Kita Selangor kepada 50,000 isi rumah selama enam bulan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup, selain penyediaan makanan percuma kepada pelajar di 873 sekolah di seluruh negeri bermula Ogos.

Suee Lim berkata pakej itu turut merangkumi bantuan kewangan kepada kontraktor KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) yang tidak layak menerima subsidi diesel Persekutuan.

“Bantuan ini penting bagi memastikan kerja kutipan sampah dapat diteruskan mengikut jadual dan kebersihan kawasan perumahan sentiasa terjaga,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.