Pesara wanita rugi RM108,000, mangsa pelaburan saham tidak wujud

21 Apr 2026, 1:14 AM
Pesara wanita rugi RM108,000, mangsa pelaburan saham tidak wujud

SHAH ALAM, 21 APRIL: Pesara wanita berusia 61 tahun kerugian RM108,000 selepas menjadi mangsa penipuan pakej pelaburan saham tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 20 April lalu.

Menurutnya, mangsa yang merupakan pesara sektor swasta tertarik dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi sehingga 80 peratus.

“Mangsa kemudiannya melakukan beberapa transaksi dalam talian bermula 11 Mac hingga 17 April lalu dengan jumlah keseluruhan RM108,000,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata mangsa hanya menyedari ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran wang termasuk keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi pelaburan berkenaan.

“Sindiket dipercayai menggunakan taktik memasukkan mangsa ke dalam kumpulan WhatsApp yang dikendalikan rakan suspek sebelum memperdayakan mereka dengan testimoni palsu dan janji keuntungan lumayan,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.