Enam lelaki ditahan, aktiviti pasir laut haram dibongkar

20 Apr 2026, 10:29 AM
Enam lelaki ditahan, aktiviti pasir laut haram dibongkar
Enam lelaki ditahan, aktiviti pasir laut haram dibongkar
Enam lelaki ditahan, aktiviti pasir laut haram dibongkar

KUANTAN, 20 APRIL: Polis menahan enam lelaki termasuk dua warga Indonesia disyaki terlibat dalam kegiatan pemindahan bahan batuan dipercayai pasir laut secara tidak sah di Pelabuhan Kuantan, Gebeng semalam.

Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam hantaran di Facebook memaklumkan kesemua suspek ditahan oleh anggota Batalion 7 PGA dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menerusi Ops Bersepadu Khazanah kira-kira 10 pagi.

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa turut merampas sebuah kapal korek pasir bersama paip, dua jengkaut, sebuah jentolak serta kira-kira 250 tan pasir laut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM10.28 juta.

“Hasil siasatan awal mendapati tapak berkenaan dimiliki sebuah syarikat tempatan yang menjalankan kerja pembinaan di kawasan laut dan lokasi itu dipercayai sedang dibangunkan sebagai hab maritim baharu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan aktiviti penambakan pantai menggunakan pasir laut dipercayai bermula sejak Mac lepas dengan menggunakan kapal korek di tengah laut.

“Semakan lanjut mendapati kerja pengorekan pasir itu tidak mempunyai lesen atau kelulusan sah daripada pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.

PGA Briged Tenggara memaklumkan kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada UPNP untuk tindakan lanjut manakala sampel pasir turut dihantar ke Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk dianalisis.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.