SHAH ALAM, 20 APRIL: Perdana Menteri menerima kunjungan hormat enam wakil pondok terpilih dalam program Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (IPI) di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata program rintis digerakkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu antara usaha kerajaan meningkatkan kebolehan digital dalam kalangan pelajar pondok.
"Antara pondok yang menjadi perintis dalam projek ini adalah Maahad Tarbiah Islamiah, Derang, Pokok Sena; Pusat Pengajian Pondok, Kandis, Bachok dan Institut Ahmad Ibni Idris (SAIFI), Rembau.
“Pusat Pendidikan Ribath Al-Musthofa, Kuantan; Pondok Darul Furqan, Ipoh dan Maahad Ihya Ulumiddin, Mengkuang Titi, Bukit Mertajam," katanya di Facebook.
Perdana Menteri berkata dalam pertemuan itu, beliau menyatakan keyakinan kepada institusi pondok untuk meneroka bidang baharu dan pada masa yang sama dapat mengekalkan tradisi turath al-Islami selain penguasaan segmen digital khususnya kecerdasan buatan menjadi penting sekarang dalam menghadapi cabaran semasa.
"Moga ikhtiar ini akan membina landasan yang kukuh dengan asas yang kuat bagi masa hadapan pendidikan Islam di rantau ini," katanya.








