SHAH ALAM, 20 APRIL: Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang diperkenalkan Kerajaan Negeri diyakini mampu meredakan tekanan kos sara hidup rakyat, khususnya ketika ekonomi global tidak menentu.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berkata pakej itu bersifat ‘touch point’ dengan manfaat yang disalurkan terus kepada rakyat.
“Pakej ini memberi kelegaan kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk tambahan subsidi Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang terbukti antara langkah paling berkesan membantu rakyat menghadapi kenaikan harga barang.
“Ramai rakyat di Dusun Tua meminta supaya lebih banyak program JER dianjurkan dan bekalan ditambah kerana sambutannya sangat menggalakkan,” katanya kepada Media Selangor.
Dalam perkembangan berkaitan, Johan berharap kerajaan Persekutuan dapat mencari penyelesaian lebih berkesan bagi menangani kenaikan kos diesel yang disifatkan semakin membebankan rakyat.
Beliau turut berpandangan bahawa pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam bukan penyelesaian menyeluruh terhadap isu tersebut.
“Kenaikan kos diesel ini memberi kesan besar kepada harga barang dan perkhidmatan. Kita harap ada langkah lebih efektif di peringkat Persekutuan untuk membantu rakyat.
“Saya tidak melihat BDR sebagai langkah yang mampu menyelesaikan masalah kenaikan kos diesel secara keseluruhan. Diharapkan kerajaan dapat mengkaji semula pendekatan yang lebih berkesan,” katanya.
Mengulas lanjut, Johan memaklumkan pihaknya turut mengambil inisiatif penjimatan dalam pengurusan perbelanjaan di Dusun Tua.
“Kita mengurangkan perbelanjaan tidak perlu termasuk penganjuran rumah terbuka secara sederhana. Dari segi logistik dan persembahan, kita tidak menjemput artis sebaliknya menggunakan kumpulan muzik tempatan,” katanya.
Kerajaan Negeri memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta, khusus bagi mendepani krisis geopolitik di Asia Barat ketika ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pakej fasa pertama yang bermula Jun ini bertujuan mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan selain mengawal kadar inflasi daripada meningkat keterlaluan.








