DHAKA, 19 APRIL: Kerajaan Bangladesh menaikkan harga bahan api berkuat kuasa pada Ahad, menurut laporan Xinhua.
Menurut notis harga daripada Kementerian Kuasa, Tenaga dan Sumber Mineral negara itu pada Sabtu malam, harga satu liter oktana kini ialah 140 taka (kira-kira US$1.14), meningkat 20 taka berbanding kadar sebelumnya.
Harga diesel dan kerosin turut dinaikkan daripada 100 taka dan 112 taka seliter kepada 115 taka dan 130 taka seliter masing-masing.
Setiap liter petrol kini berharga 135 taka, meningkat 19 taka, menurut notis itu.
Bangladesh terpaksa menaikkan harga minyak akibat peningkatan kos import bahan api yang dikaitkan dengan konflik berterusan di Asia Barat, kata Menteri Kuasa, Tenaga dan Sumber Mineral Iqbal Hassan Mahmood kepada wartawan pada Ahad.
Beliau berkata sejak bermulanya konflik, Bangladesh mengimport bahan api dan menyimpan stok pada kos yang lebih tinggi dan pelarasan harga semasa masih tidak sepenuhnya menampung kos import.
“Kami terpaksa mengambil langkah ini,” kata menteri itu, sambil menjelaskan yang pembelian bahan api perlu dibuat dalam mata wang asing. “Kami cuba memastikan harga kekal pada tahap yang boleh diterima.”








