SHAH ALAM, 19 APRIL: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan 2,350 audit kualiti perkhidmatan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 15 April, dengan 280 notis dikeluarkan kepada penyedia perkhidmatan yang gagal memenuhi standard.
Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] susulan ketidakpatuhan terhadap Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan.
Menurut SKMM, pemantauan berterusan itu bertujuan memastikan kualiti perkhidmatan komunikasi berada pada tahap terbaik, selain memperkukuh kerjasama dengan penyedia industri bagi membangunkan infrastruktur yang lebih mampan dan berdaya tahan.
“Langkah ini bagi memastikan penyediaan infrastruktur komunikasi yang mampan, berdaya tahan dan sentiasa berada pada tahap terbaik sekali gus memenuhi keperluan serta jangkaan rakyat di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil turut menyertai sesi ujian kelajuan dan kualiti liputan selular di laluan Kereta Api Elektrik (ETS) dari KL Sentral ke Segamat, Johor.
Ujian tersebut dijalankan SKMM dengan kerjasama penyedia rangkaian mudah alih bagi menilai prestasi liputan serta kelajuan 4G dan 5G secara masa nyata di laluan rel utama negara.
Setakat ini, liputan 5G di negara ini telah mencapai 71 peratus, dan peluasan rangkaian akan diteruskan secara berperingkat.
Bagaimanapun, SKMM mengenal pasti masih terdapat beberapa kawasan mengalami penurunan kualiti liputan dan kelajuan internet, khususnya di luar bandar serta laluan tertentu di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor Utara yang memerlukan penambahbaikan.
SKMM berkata dapatan ujian itu akan dianalisis bagi mengenal pasti jurang liputan dan merangka tindakan susulan bersama industri, selain menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi MCMC Nexus untuk menguji kelajuan internet serta menyumbang data prestasi rangkaian.








