SEOUL, 19 APRIL: Pejabat Keselamatan Negara Korea Selatan pada Ahad mengecam pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara, yang disifatkan sebagai melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), lapor Yonhap News Agency.
Pejabat itu turut menggesa Pyongyang supaya menghentikan segera tindakan provokasi berkenaan.
Jurucakap presiden Kang Yu-jung dalam taklimat media bertulis berkata pejabat itu mengadakan mesyuarat tergempar yang dipengerusikan Timbalan Penasihat Keselamatan Negara Kim Hyun-jong bagi menganalisis serta menilai pelancaran terbaharu Korea Utara.
Ia menyuarakan kebimbangan terhadap pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara yang semakin kerap berlaku, selain menegaskan tindakan berkenaan jelas melanggar resolusi UNSC.
Pejabat itu juga mengarahkan agensi berkaitan supaya mempertingkat tahap kesiapsiagaan memandangkan Presiden Lee Jae Myung dijadual berlepas ke India lewat hari itu untuk lawatan ke dua negara yang turut merangkumi Vietnam.
Kang berkata pejabat berkenaan turut melaporkan pelancaran terbaharu Korea Utara serta langkah tindak balas yang diambil kepada presiden.
Menurut Ketua Turus Bersama (JCS), Korea Utara melancarkan peluru berpandu itu dari kawasan Sinpho sekitar 6.10 pagi Ahad.
JCS sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapat pergerakan Korea Utara menerusi kesiapsiagaan pertahanan gabungan Korea Selatan-Amerika Syarikat (AS) yang kukuh.
Korea Utara kali terakhir melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat pada 8 April.
Provokasi terbaharu Korea Utara itu berlaku menjelang lawatan Presiden AS Donald Trump ke China yang dijadualkan pada pertengahan Mei.








