KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Iran mengesahkan Selat Hormuz kini dibuka semula kepada kapal komersial susulan perjanjian gencatan senjata yang dicapai di Lubnan.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata pembukaan itu berkuat kuasa sepanjang tempoh gencatan senjata selama 10 hari yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) antara Israel dan kumpulan Hizbullah yang disokong Iran.
Araghchi menerusi satu hantaran di platform X memaklumkan selat itu dibuka kepada semua kapal komersial sepanjang tempoh berkenaan, susulan persetujuan antara Israel dan Lubnan, lapor Reuters.
Beliau berkata pergerakan kapal perlu mengikut laluan yang diumumkan oleh Pertubuhan Pelabuhan dan Maritim Iran.
Sementara itu, Presiden AS Donald Trump menyatakan beliau percaya perjanjian untuk menamatkan perang Iran akan dicapai “tidak lama lagi”, walaupun tempoh sebenar masih belum jelas.
Serangan AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Februari lalu meragut ribuan nyawa serta menggugat kestabilan Asia Barat.
Konflik itu turut menyebabkan penutupan efektif Selat Hormuz, yang menjadi laluan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia dan gas asli cecair, sekali gus mencetuskan ancaman kejutan harga minyak terbesar dalam sejarah.
Harga minyak global turut merosot kira-kira sembilan peratus, meneruskan penurunan sebelumnya susulan kenyataan terbaharu Araghchi.
Dalam perkembangan berkaitan, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) minggu ini menurunkan unjuran pertumbuhan global dan memberi amaran ekonomi dunia berisiko memasuki kemelesetan sekiranya konflik berpanjangan.
Trump pada Khamis berkata rundingan mungkin diadakan seawal hujung minggu ini, namun menjelang petang Jumaat, perkara itu dilihat semakin tidak pasti berikutan cabaran logistik untuk menghimpunkan pegawai di Islamabad, Pakistan, lokasi rundingan dijangka berlangsung.








