Satu kapal bawa bahan api dari Selat Hormuz selamat tiba - PM

17 Apr 2026, 7:32 AM
Satu kapal bawa bahan api dari Selat Hormuz selamat tiba - PM

SHAH ALAM, 17 APRIL: Sebuah kapal Malaysia yang membawa bahan api selamat dari Selat Hormuz sudah tiba di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sebuah lagi kapal kini sedang menghampiri perairan Malaysia, menjadikan dua kapal telah berjaya melalui laluan strategik itu setakat ini.

Bagaimanapun, menurutnya, sebuah daripada tujuh kapal terbabit mengalami kerosakan teknikal dan tidak dapat berlepas dari pelabuhan di Selat Hormuz.

Ketika ini, kerajaan turut memantau pergerakan lima lagi kapal yang masih belum melepasi selat berkenaan.

"Satu kapal sudah sampai, satu lagi hampir sampai dan masuk dalam perairan Malaysia, maknanya (ada) dua (kapal), yang lain itu dengan keputusan baharu walaupun sudah lepas, tetapi kita masih memantau.

"Dari segi kelulusan, memang Iran memberi kelulusan kepada tujuh kapal kita (melepasi Selat Hormuz), tetapi satu (kapal) mempunyai masalah kerosakan hingga tak boleh berlepas dari pelabuhan.

"Disebabkan keadaan terbaru ini, kita ada hadapi masalah sedikit," katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, hari ini.

Laluan laut sempit maritim antara Teluk Parsi dan Laut Arab yang menjadi nadi utama perdagangan minyak dunia kini berisiko terjejas susulan konflik bersenjata melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel.

Untuk rekod, hampir 20 peratus perdagangan minyak mentah dunia melalui selat itu setiap hari dan sekiranya berlaku gangguan akibat peperangan, kapal tangki besar berkemungkinan tidak dapat keluar membawa minyak dari negara pengeluar utama seperti Arab Saudi, Kuwait dan Iraq.

Konflik berterusan di Asia Barat menyebabkan hampir 20,000 pelaut dan kira-kira 2,000 kapal terkandas di Selat Hormuz, menurut Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).

Proses pemindahan tidak dapat dilakukan serentak memandangkan laluan sempit sekitar 30 kilometer itu memerlukan penyelarasan rapi antara negara serta berdepan risiko keselamatan tinggi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.