SHAH ALAM, 17 APRIL: Kerajaan Negeri mencadangkan pengusaha penginapan memperluaskan penggunaan automasi serta menawarkan pilihan waktu daftar masuk dan keluar yang lebih fleksibel bagi mengurangkan tekanan operasi.
EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata langkah itu bagi memastikan kepentingan pelanggan terus terpelihara susulan beberapa isu berkaitan tempoh penginapan yang tular baru-baru ini.
Menurutnya, terdapat pengusaha yang kini memanjangkan jarak antara waktu daftar keluar dan daftar masuk bagi menyesuaikan keperluan operasi semasa.

“Ada pengusaha menetapkan tempoh lebih panjang antara daftar keluar dan daftar masuk bagi memenuhi keperluan operasi semasa,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata aspek lain turut boleh dipertimbangkan termasuk penambahbaikan latihan tenaga kerja serta penambahan kakitangan bagi memperkukuh kecekapan operasi.
“Komunikasi yang jelas dengan pelanggan juga penting bagi mengelakkan salah faham. Kerajaan Negeri komited memastikan sektor pelancongan dan hospitaliti kekal berdaya saing, berkualiti tinggi serta mesra pelancong,” katanya.
Suee Lim berkata keseimbangan antara keperluan operasi dan kepuasan pelanggan perlu diberi perhatian bagi memastikan pengalaman pelancongan yang positif, selain mengukuhkan imej Selangor sebagai destinasi pilihan menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2026.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hantaran tular di platform Threads yang memaparkan dasar sebuah penginapan yang menetapkan daftar masuk bermula jam 4 petang dan daftar keluar sebelum jam 11 pagi, tanpa menyebut nama premis.
Menurutnya, beberapa pengguna turut berkongsi pengalaman sama di hotel dan inap desa di seluruh negara.
Suee Li menjelaskan antara faktor utama yang mendorong situasi itu ialah kekurangan tenaga kerja, keperluan pembersihan dan penyediaan bilik yang lebih teliti serta kadar penghunian tinggi yang memberi tekanan kepada operasi harian hotel.
Beliau berkata walaupun jadual waktu tersebut boleh menjejaskan fleksibiliti pelanggan, khususnya dalam perancangan perjalanan, ia juga penting bagi memastikan tahap kebersihan, keselesaan dan kualiti bilik sentiasa terjamin.
“Cabaran operasi sememangnya memainkan peranan besar. Kekangan tenaga kerja pengemasan, tempoh masa diperlukan untuk menyediakan bilik serta keperluan mematuhi standard kebersihan menyebabkan pengusaha memerlukan masa mencukupi sebelum menerima tetamu seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia Sri Ganesh Michiel berkata kebanyakan kes berkaitan “late check-in, early check-out” melibatkan unit penginapan jangka pendek seperti inap desa dan Airbnb yang tidak tertakluk kepada peraturan ketat seperti hotel berlesen.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar peraturan lebih jelas diperkenalkan bagi mewujudkan ekosistem industri penginapan yang lebih seimbang.

“Hotel berlesen beroperasi di bawah syarat ketat termasuk keperluan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan serta pematuhan aspek keselamatan dan operasi.
“Industri ini telah lama mendesak supaya peraturan lebih menyeluruh dilaksanakan agar semua penyedia penginapan beroperasi dalam persekitaran yang adil,” katanya.





