SHAH ALAM, 16 APRIL: Kerajaan Negeri melancarkan garis panduan baharu bagi pusat jagaan dan taman asuhan melibatkan warga emas, kanak-kanak serta orang kelainan upaya (OKU) sebagai langkah menambah baik tadbir urus sektor ekonomi penjagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Penambahbaikan, Perkhidmatan dan Penjagaan (JKPPP) Michelle Ng Mei Sze berkata garis panduan itu telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Februari lalu.
Menurut beliau, pendekatan baharu itu membolehkan lebih banyak premis digunakan sebagai pusat jagaan berbanding syarat sebelum ini.
“Kini rumah teres lot hujung yang mempunyai ruang tepi selain unit strata dan lot industri boleh beroperasi sebagai pusat jagaan. Sebelum ini kita hanya benarkan lot tepi, rumah teres, rumah sebuah atau banglo sahaja.
“Jadi kebanyakan pengusaha merasakan syarat ini terlalu tinggi disebabkan kos sewaan. Ini juga antara sebab kebanyakan pengusaha taska beroperasi tanpa kelulusan.
“Setakat Mac, 176 taska dan pusat jagaan kanak-kanak, OKU dan warga emas dikenalpasti tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor,” katanya ketika melancarkan garis panduan berkenaan hari ini.

Beliau berkata garis panduan berkenaan mengetengahkan pendekatan ‘one door policy’ bagi memudah proses pendaftaran, di samping mengurangkan kekangan birokrasi sekali gus mematuhi ketetapan undang-undang.
“Pendekatan ini dapat meningkatkan kadar pendaftaran pusat jagaan yang sah, memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan penjagaan berkualiti, serta mengukuhkan keyakinan keluarga terhadap pusat jagaan berdaftar.
“Dijangka, garis panduan ini berkuatkuasa di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam tempoh dua bulan lagi. Ini merupakan pelaburan sosial penting untuk jadikan Selangor berdaya huni dan pastikan tiada siapa tercicir daripada akses penjagaan selamat dan berkualiti,” katanya.
Sementara itu, beliau ketika membacakan ucapan EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari berkata Selangor menerima permintaan pusat jagaan yang semakin meningkat namun berdepan dengan kekangan perkhidmatan terbabit.
Menurutnya masih terdapat jurang dari segi jumlah pusat jagaan berdaftar, tenaga kerja mahir, pematuhan piawaian serta akses kepada laluan pendaftaran yang mudah.
“Purata daripada 10 warga emas dan kanak-kanak di negeri ini, tiga orang memerlukan penjagaan. Sebab itu, garis panduan ini diwujudkan untuk membantu memperluas penawaran sektor ini secara sah dan berkualiti,” katanya.










