SHAH ALAM, 16 APRIL: Empat lelaki termasuk dua bersenjatakan pistol menyamun sebuah kedai emas di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, hari ini dengan kerugian dianggarkan RM9.75 juta.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi apabila semua suspek menyerbu premis berkenaan dan melarikan 21 dulang barangan kemas.
Menurutnya, jumlah keseluruhan emas yang dilarikan dianggarkan seberat 15 kilogram.
“Empat suspek bersenjatakan dua pistol yang identitinya masih belum dikenal pasti telah menyerbu masuk premis dan melarikan barangan kemas.
“Mereka turut melarikan selaras senapang patah milik pengawal keselamatan bersama sebutir peluru,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, atau balai polis berhampiran.







