SHAH ALAM, 16 APRIL: Selangor kembali ke puncak apabila menjulang Piala Emas Khir Johari selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 dalam aksi final Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan, semalam.
Kemenangan itu menamatkan penantian 15 tahun skuad negeri, dengan kali terakhir trofi berprestij tersebut dimenangi pada 2011 di Kuching, Sarawak.
Kapten pasukan, Farhan Adam menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil komitmen penuh seluruh pemain yang tampil dengan aksi cemerlang sepanjang kejohanan.
“Semua pemain beri komitmen 100 peratus dan kami buktikan Selangor masih kuasa besar dalam saingan Piala Emas ini,” katanya.
Sementara itu, Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) sebagai rakan penaja rasmi turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil usaha kolektif melibatkan pemain, pengurusan serta sokongan padu penyokong.
Menurutnya, kejayaan itu membuktikan kekuatan ekosistem sukan Selangor yang terus kompetitif di peringkat kebangsaan.
KUSEL turut merakamkan penghargaan kepada skuad Selangor Pistons serta Persatuan Sepak Takraw Selangor yang diterajui Presiden, Datuk Zafry Sulaiman atas pencapaian membanggakan tersebut.










