Syarikat susun semula operasi punca ramai hilang kerja

16 Apr 2026, 2:00 AM
Syarikat susun semula operasi punca ramai hilang kerja

SHAH ALAM, 16 APR: Peratusan individu hilang pekerjaan yang tinggi di Lembah Klang berpunca daripada langkah syarikat berasaskan pelaburan yang melakukan penyusunan semula dan pemotongan kos.

EXCO Sumber Manusia dan Basmi Kemiskinan V Papparaidu berkata negeri yang menempatkan industri yang dipacu pelabur tempatan dan asing terdedah kepada situasi berkenaan.

“Selangor dan Kuala Lumpur sebahagian besarnya dipacu industri berasaskan pelabur, dengan kebanyakannya dikawal oleh pelabur tempatan dan asing.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu ditemui media dalam majlis Iftar Peringkat DUN Banting di Hotel Villea, Morib pada 16 Mac 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Atas dasar itu, terdapat banyak syarikat yang mungkin mahu memotong kos atau menutup operasi, maka berlaku beberapa kehilangan (pekerjaan),” katanya kepada Media Selangor.

Beliau mengulas laporan Hong Leong Investment Bank yang memetik data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) iaitu Selangor dan Kuala Lumpur paling banyak hilang pekerjaan pada Mac.

Sebanyak 29.3 peratus hilang pekerjaan di Selangor dan Kuala Lumpur 25.6 peratus daripada keseluruhan 5,900 di Malaysia pada Mac iaitu penurunan 21.3 peratus atau 7,500 pada Februari.

Menurut Papparaidu, sektor tertentu lebih terjejas terutama pelancongan akibat ketidaktentuan ekonomi dunia ekoran konflik di Asia Barat.

“Sektor pelancongan adalah yang paling terkesan kerana isu global semasa. Sebaliknya, sektor pembuatan masih kekal teguh, begitu juga dengan sektor perkhidmatan,” katanya lagi.

Beliau berkata Kerajaan Selangor mengadakan pelbagai inisiatif antaranya karnival kerjaya untuk menghubungkan pencari kerja dengan bakal majikan bagi membantu rakyat yang hilang kerja.

“Kami baru-baru ini adakan program karnival kerjaya di Banting dengan lebih 45,000 peluang pekerjaan. Ini menunjukkan Selangor stabil dan terdapat banyak lagi prospek,” katanya.

Beliau menyatakan pentadbiran negeri bekerjasama rapat dengan agensi seperti PERKESO dan institusi pendidikan untuk memadankan pencari kerja dengan sebarang jawatan yang tersedia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.