BDR bantu jimat kos petrol, elektrik luar puncak lebih rendah

15 Apr 2026, 2:00 PM
BDR bantu jimat kos petrol, elektrik luar puncak lebih rendah
BDR bantu jimat kos petrol, elektrik luar puncak lebih rendah

SHAH ALAM, 15 APRIL: Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) dilihat mampu menyokong usaha penjimatan kos sara hidup apabila penggunaan elektrik di luar waktu puncak didapati lebih rendah berbanding kos minyak harian.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim berkata langkah tersebut wajar diperluaskan khususnya melibatkan sektor bukan kritikal sebagai sokongan kepada inisiatif kerajaan dalam mengawal perbelanjaan rakyat.

Menurutnya, pelaksanaan BDR memberi kesan positif secara langsung terhadap pengurangan kos bulanan, terutama melibatkan penggunaan petrol.

“Pelaksanaan BDR ini secara tidak langsung membantu penjimatan, bukan sahaja dari sudut kos, tetapi juga mengurangkan penggunaan petrol yang menjadi antara keutamaan kerajaan ketika ini,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menjelaskan walaupun terdapat kebimbangan berhubung peningkatan bil utiliti seperti elektrik, perbezaan kos tersebut masih lebih kecil berbanding perbelanjaan minyak bulanan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Izuan Kasim. Foto Pejabat ADN Kota Damansara

“Walaupun ada kebimbangan kos utiliti seperti bil elektrik akan meningkat, namun jika dibandingkan dengan kos minyak yang ditanggung setiap bulan, perbezaannya adalah lebih ketara,” katanya.

Dalam masa sama, Izuan memaklumkan pelaksanaan BDR di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara memerlukan penyesuaian kerana melibatkan urusan bersemuka dengan orang ramai.

Katanya, operasi pusat khidmat tetap perlu berjalan lancar terutama dalam urusan permohonan bantuan dan proses tandatangan yang memerlukan kehadiran fizikal.

“Di Pusat Khidmat DUN Kota Damansara, kita cuba melaksanakan BDR, namun ia agak mencabar kerana melibatkan urusan permohonan bantuan dan tandatangan,” ujarnya.

Sehubungan itu, pihaknya mengambil pendekatan menyusun kehadiran staf secara giliran bagi memastikan perkhidmatan tidak terjejas, selain terus menyokong usaha penjimatan penggunaan petrol.

Pelaksanaan dasar BDR melibatkan kira-kira 200,000 kakitangan kerajaan bermula hari ini sebagai langkah strategik memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

Dasar tersebut melibatkan pegawai perkhidmatan awam persekutuan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan semua ibu negeri yang mempunyai jarak perjalanan melebihi lapan kilometer sehala ke pejabat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.