MB mohon kebenaran hantar delegasi Malaysia ke Brussels bawa isu Palestin

15 Apr 2026, 3:37 AM
MB mohon kebenaran hantar delegasi Malaysia ke Brussels bawa isu Palestin
MB mohon kebenaran hantar delegasi Malaysia ke Brussels bawa isu Palestin
MB mohon kebenaran hantar delegasi Malaysia ke Brussels bawa isu Palestin
MB mohon kebenaran hantar delegasi Malaysia ke Brussels bawa isu Palestin

SHAH ALAM, 15 APRIL: Dato’ Menteri Besar sedang mendapatkan kebenaran bagi membolehkan Malaysia menghantar delegasi ke Brussels, Belgium sempena persidangan Ahli Parlimen Eropah pada 22 April ini bagi membawa isu Palestin.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penyertaan delegasi itu penting bagi memastikan suara Malaysia terus dibawa ke peringkat antarabangsa, khususnya dalam mendesak tindakan segera terhadap krisis kemanusiaan yang berterusan di wilayah berkenaan.

“Contohnya, pada 22 April ini akan ada persidangan Ahli Parlimen Eropah di Brussels dan saya sedang mendapatkan kebenaran untuk Perdana Menteri ataupun Malaysia dapat menghantar delegasi.

"Ini kerana ada dua atau tiga perkara penting yang harus dikemukakan (berkaitan Palestin)," katanya ketika ditemu bual dalam program podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan malam tadi.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika ditemu bual dalam program podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan malam tadi.

Menurutnya, antara perkara utama yang akan dibangkitkan ialah desakan menamatkan kepungan terhadap rakyat Palestin yang terus menjejaskan kehidupan harian mereka.

Selain itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan peraturan baharu yang membolehkan hukuman gantung dikenakan ke atas tahanan Palestin.

“Peraturan ini berpotensi mendedahkan kira-kira 10,000 rakyat Palestin kepada hukuman tersebut dan ini merupakan isu kemanusiaan yang sangat serius,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin yakin penglibatan aktif Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bersama negara lain mampu memperkukuh usaha melobi secara berterusan di peringkat antarabangsa.

“Melalui pendekatan diplomasi dan kerjasama pelbagai negara, Malaysia berpotensi memainkan peranan penting dalam memperjuangkan isu ini,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan misi kemanusiaan itu kini giat digerakkan sebagai sebahagian usaha bantuan dan solidariti global terhadap rakyat Palestin.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama Sukarelawan melaungkan takbir ketika sidang media Misi Bantuan Kemanusian 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan Global Sumud Flotilla 2.0 di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA 1), Sepang pada 6 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

GSF 2.0 memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona menuju ke Gaza dengan ribuan penyokong dari pelbagai negara berhimpun di Moll de la Fusta bagi mengiringi pelepasan misi yang bertujuan memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Misi kali ini melibatkan lebih 80 kapal dan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia, menggabungkan usaha maritim dengan gerakan mobilisasi global di darat termasuk advokasi undang-undang serta kempen solidariti di pelbagai negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.