Pemandu bas, wanita akan beri keterangan di IPD Jasin esok

14 Apr 2026, 1:37 PM
Pemandu bas, wanita akan beri keterangan di IPD Jasin esok

SHAH ALAM, 14 APRIL: Pemandu bas ekspres yang dikaitkan dengan insiden meriba seorang wanita ketika memandu akan tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, Melaka esok.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata pihaknya sudah menghubungi kedua-dua individu terbabit dan mereka memberi jaminan hadir bagi membantu siasatan.

Menurutnya, wanita berkenaan kini berada di Kedah dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur malam ini sebelum hadir bersama pemandu terbabit ke IPD Jasin.

“Pemandu itu memaklumkan berada di Sungai Besi dan bersetuju hadir ke Jasin seperti dijanjikan bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, media melaporkan pemandu bas terbabit sudah berkahwin, manakala wanita berkenaan dipercayai rakannya.

Insiden itu berlaku ketika bas dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Larkin, Johor Bahru.

Rakaman video berdurasi lapan saat yang tular di media sosial menunjukkan pemandu berkenaan meriba seorang wanita ketika memandu di susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Jasin arah selatan kira-kira jam 7.30 malam, Ahad lalu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.