Peluang kedua bantu prospek penjara jadi tenaga kerja produktif

14 Apr 2026, 1:00 PM
Peluang kedua bantu prospek penjara jadi tenaga kerja produktif

SHAH ALAM, 14 APRIL: Usaha memanfaatkan prospek (banduan) penjara sebagai tenaga kerja produktif dilihat mampu menjadi pendekatan strategik dalam memperkukuh pembangunan ekonomi negeri.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Papparaidu Veraman berkata, inisiatif itu juga membuka peluang kedua kepada golongan berkenaan untuk membina semula kehidupan selepas dibebaskan.

Menurutnya, lawatan ke Penjara Kajang baru-baru ini memberi gambaran jelas mengenai potensi besar dalam kalangan prospek yang boleh dibimbing serta dibangunkan sebagai tenaga kerja berkemahiran.

Beliau menjelaskan, sebagai langkah awal, kira-kira 10 syarikat dibawa untuk mengadakan sesi temu duga bersama prospek penjara.

“Pendekatan ini bukan sahaja memberi harapan baharu kepada mereka, malah membantu industri mendapatkan tenaga kerja tempatan yang terlatih dan bersedia,” katanya menerusi Facebook.

Papparaidu turut merakamkan penghargaan kepada KDEB Waste Management atas sokongan dalam menyediakan latihan kemahiran kepada prospek penjara.

Katanya, latihan itu termasuk peluang mendapatkan lesen serta pendedahan kepada pengendalian lori sampah, sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk terlibat dalam sektor pengurusan sisa.

Dalam masa sama, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan penyaluran tenaga kerja tersebut ke dalam sektor 3D (dirty, dangerous dan difficult).

Antara sektor yang dikenal pasti termasuk perkilangan, pembuatan, pembinaan, pertanian dan perladangan yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran.

“Bidang perladangan khususnya mempunyai prospek besar untuk menempatkan mereka sebagai pekerja ladang yang terlatih dan berdaya saing,” jelasnya.

Inisiatif ini juga dilihat mampu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Sudah tiba masanya kita memberi peluang kedua kepada mereka, sambil memperkukuh ekonomi melalui penglibatan tenaga kerja tempatan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.