Selangor perkenal indeks baharu nilai prestasi, tangani ketirisan sektor awam

14 Apr 2026, 7:11 AM
Selangor perkenal indeks baharu nilai prestasi, tangani ketirisan sektor awam

SHAH ALAM, 14 APRIL: Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Indeks Kualiti Penyampaian Perkhidmatan sebagai mekanisme baharu bagi meningkatkan kecekapan, memperkukuh tadbir urus serta menangani ketirisan sumber dalam sektor awam.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada kerangka Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus Selangor (RSTU) yang dirangka bagi memperkemas pelaksanaan dasar negeri serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata indeks berkenaan akan menjadi antara empat indikator utama di bawah RSTU bagi menilai prestasi sektor awam, selain elemen berkaitan tadbir urus dan tahap kepercayaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato' Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berucap pada program Semarakkan Inovasi Sektor Awam di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada 14 April 2026. Foto HARUN TAJUDN / MEDIA SELANGOR

“Di bawah indeks ini, kita sedang menuju ke arah apa yang saya telah lama ingin laksanakan, iaitu model anti-ketirisan. Apabila kita bercakap mengenai peningkatan kualiti perkhidmatan, kita juga perlu melihat sisi satu lagi iaitu ketirisan.

“Kita perlu menilai sama ada sumber manusia kita mencukupi atau perlu diselaraskan bagi meningkatkan kecekapan. Ini perkara yang sedang kita perhalusi.

“Keadaannya masih terkawal, tetapi kita mahu memastikan ia ditangani dengan baik. Jika kita berjaya melaksanakannya, kita akan mempunyai gambaran lebih jelas tentang setiap tugasan, tempoh masa diperlukan serta sumber yang diperlukan,” katanya ketika berucap pada pelancaran Program Inovasi Sektor Awam 2026 di Pusat Konvensyen MBSA, pagi tadi.

Suasana di program Semarakkan Inovasi Sektor Awam di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada 14 April 2026. Foto HARUN TAJUDN / MEDIA SELANGOR

Beliau berkata Selangor masih berdepan isu ketirisan hasil dalam pelbagai sektor, justeru penambahbaikan kecekapan sekitar lima hingga 10 peratus perlu dicapai bagi memperkukuh prestasi perkhidmatan.

Dilancarkan pada Ogos tahun lalu, RSTU bertujuan mereformasi pelaksanaan dasar negeri serta menyelarasnya dengan pelan kerajaan Persekutuan.

Kerangka itu merangkumi lapan fokus utama iaitu reformasi tadbir urus dan integriti, pembaharuan sistem penyampaian, penghapusan budaya silo dalam organisasi negeri, penambahbaikan sistem aduan, pembangunan masyarakat berdaya saing, pemerkasaan rakyat, kaedah penilaian kejayaan program negeri yang lebih baik serta penilaian berasaskan hasil.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Selangor telah mengenal pasti empat produk inovasi utama yang akan diperluaskan ke seluruh agensi, termasuk sistem penguatkuasaan digital, sistem permit pembaikan kecil secara dalam talian, sistem penjejakan cukai berasaskan Sistem Maklumat Geografi (GIS) serta sistem perlindungan limpahan air pintar.

Inisiatif itu mencerminkan peralihan negeri ke arah pendigitalan, peningkatan kutipan hasil serta pengukuhan integriti melalui sistem audit yang lebih telus.

Ahmad Fadzli turut menekankan kepentingan inovasi sosial dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat, termasuk pelaksanaan projek TEDUH untuk penunggang p-hailing yang menyediakan kemudahan lebih selamat dan moden.

Dalam masa sama, beliau berkata kecerdasan buatan (AI) akan memainkan peranan penting dalam tadbir urus, namun hanya sebagai pemudah cara dan bukan menggantikan keputusan manusia.

Katanya, kejayaan transformasi sektor awam akhirnya bergantung kepada perubahan minda, kepimpinan serta kesediaan melaksanakan reformasi yang memberi nilai sebenar kepada rakyat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.