Selangor perkenal ujian kompetensi, perkasa peranan Ketua Komuniti India

13 Apr 2026, 5:01 AM
Selangor perkenal ujian kompetensi, perkasa peranan Ketua Komuniti India

HULU SELANGOR, 13 APRIL: Kerajaan Selangor memperkenalkan ujian kompetensi sebagai mekanisme baharu dalam pelantikan Ketua Komuniti India (KKI) bagi sesi 2026 hingga 2027, sekali gus memperkukuh peranan mereka sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat di peringkat akar umbi.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata pendekatan itu dilaksanakan bagi memastikan setiap calon bukan sahaja memahami tanggungjawab, malah berkeupayaan melaksanakan peranan secara berkesan.

Menurutnya, ujian kompetensi berkenaan merangkumi keupayaan asas seperti membaca, menulis dan berkomunikasi, dengan semua KKI yang dilantik telah melepasi penilaian tersebut.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berucap sempena majlis penyampaian watikah pelantikan Ketua Komuniti India (KKI) Negeri Selangor lantikan 2026-2027 di Sri Damai Resort, Hulu Selangor pada 12 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

"Ini adalah proses baharu yang kita perkenalkan tahun ini bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak dan berwibawa dipilih.

"Ujian ini juga akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya pada Kursus Induksi dan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan KKI Negeri Selangor di sini, semalam.

Setakat ini, seramai 55 KKI dilantik dengan 45 daripadanya menerima watikah pelantikan pada majlis berkenaan, manakala selebihnya masih dalam pertimbangan lanjut.

Dalam perkembangan sama, Papparaidu berkata kursus induksi yang dianjurkan memberi pendedahan menyeluruh kepada KKI baharu dan sedia ada, melibatkan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah dan Tanah, Polis Diraja Malaysia serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu menyampaikan watikah pelantikan Ketua Komuniti India (KKI) Negeri Selangor lantikan 2026-2027 kepada peserta di Sri Damai Resort, Hulu Selangor pada 12 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Katanya, pengisian kursus merangkumi aspek pentadbiran, keselamatan komuniti serta pelaksanaan program kerajaan termasuk inisiatif SejaTi MADANI selain penggunaan sistem aplikasi negeri.

“KKI di Selangor sangat aktif dan sebelum ini telah melaksanakan pelbagai program, termasuk di bawah SejaTi MADANI. Pada masa akan datang, peranan mereka akan diperluaskan dengan pelaksanaan inisiatif ini secara lebih menyeluruh di kawasan masing-masing,” katanya.

Dalam usaha mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan, beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Besar Selangor telah meluluskan cadangan pemberian komputer riba kepada semua KKI.

“Inisiatif ini penting bagi memastikan mereka dapat menguruskan aduan secara rasmi, selain meningkatkan kecekapan komunikasi dan pelaporan,” katanya.

Beliau turut menegaskan setiap KKI perlu terus mengutamakan integriti selain berperanan sebagai rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan dasar serta menjaga kebajikan masyarakat setempat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.