SEPANG, 12 APRIL: Seorang penuntut universiti swasta ditahan selepas disyaki menikam seorang wanita dalam kejadian di sebuah apartment di Bandar Sunsuria, Sepang, di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman menerusi satu kenyataan hari ini berkata penuntut lelaki berusia 22 tahun itu ditahan pada hari kejadian.
Beliau berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang mengesahkan menerima laporan polis mengenai seorang wanita berusia 34 tahun yang dicederakan dengan senjata tajam di kediamannya pada Jumaat.
“Suspek dan mangsa tidak mempunyai sebarang hubungan. Mangsa yang kritikal dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dan dilaporkan stabil,” katanya.
Beliau berkata suspek direman tujuh hari hingga 16 April dan siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan
“Setakat ini, 10 keterangan saksi telah diambil. Keputusan urin suspek adalah negatif dan suspek tiada sebarang rekod jenayah,” katanya.
Beliau berkata orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta hubungi Pegawai Penyiasat, Insp Muhammad Azroy Amran di talian 014-2723342, IPD Sepang atau balai polis berhampiran.








