SHAH ALAM, 11 APRIL: Anggota polis akan ditempatkan di stesen minyak berhampiran kawasan sempadan bagi memantau dan mengekang penyeludupan bahan api.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu susulan konflik di Asia Barat yang berisiko memberi kesan kepada rantaian terhadap bekalan dan harga barangan negara, lapor Berita Harian.
Jelas beliau, tumpuan diberikan kepada lebih 80 stesen minyak yang terletak berhampiran garis sempadan, daripada keseluruhan lebih 4,000 stesen minyak di seluruh negara.
"Arahan terbaharu Kabinet meminta polis turut mengatur gerak bagi mengawasi stesen minyak berdekatan sempadan supaya tidak berlaku aktiviti penyeludupan.
"Arahan ini perlu disegerakan dan anggota akan terus digerakkan. Namun, mereka akan pastikan tugas hakiki lain seperti banteras jenayah narkotik, trafik dan jenayah komersial tidak terganggu atau dikompromi," katanya.
Beliau ditemui selepas Lawatan Kerja dan Pemantauan Operasi Kawalan Sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Mini KDN Padang Besar, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, langkah pemantauan ketat itu perlu memandangkan bebanan subsidi kerajaan untuk petrol dan diesel telah melonjak secara drastik susulan krisis di Asia Barat.
"Sebelum krisis bermula, kerajaan membelanjakan lebih kurang RM700 juta sebulan untuk subsidi petrol dan diesel secara bersasar. Namun, selepas krisis tercetus, tanggungan subsidi dua bahan api ini melonjak hingga hampir RM6 bilion sebulan," katanya.








