Rakyat diseru berjimat, panjangkan jangka hayat bekalan makanan

11 Apr 2026, 10:43 AM
Rakyat diseru berjimat, panjangkan jangka hayat bekalan makanan

SHAH ALAM, 11 APRIL: Masalah lambakan sayur yang dihadapi negara ketika ini dijangka bersifat sementara dan tidak berlarutan lama, berikutan situasi semasa yang tidak menentu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata walaupun bekalan makanan masih mampu bertahan sehingga tiga bulan pada masa sekarang, rakyat disaran berjimat cermat supaya jangka hayat bekalan makan dapat dipanjangkan.

“Kita tahu, misalnya sayur untuk dua hingga tiga bulan yang akan datang masih mencukupi, ayam dan telur pun begitu. Begitulah juga keadaannya dalam bulan Ramadan yang lepas.

“Sampai jadi lambakan telur. Tapi adakah ia hanya bertahan begitu? Inilah kita perlu ambil langkah-langkah berjimat cermat,” katanya menerusi sedutan video daripada sesi wawancaranya bersama Tv Al Hijrah, yang disiarkan di Facebook.

Mohamad Sabu berkata, Malaysia berdepan krisis pembaziran makanan berbanding negara lain seperti Jepun dan Thailand, dengan kira-kira 40 peratus jumlah sisa sampah merupakan makanan.

Bagaimanapun, katanya, kesedaran rakyat terhadap pembaziran makanan mula menunjukkan peningkatan dengan peratus pembaziran menurun sebanyak 11.74 peratus pada Ramadan tahun ini.

“Kita masih lagi membazir. Cuma tahun ini ada kurang sikit tetapi belum sampai ke tahap yang boleh memuaskan,” katanya.

Semalam, Mohamad Sabu berkata kerajaan akan merombak secara menyeluruh mekanisme Permit Import (AP) sayur bagi mengekang lambakan bekalan import yang semakin menekan pendapatan petani tempatan.

Beliau dilapor berkata, situasi lambakan di beberapa negeri menunjukkan keperluan mendesak untuk menstruktur semula sistem import agar tidak menjejaskan petani tempatan yang bergantung kepada kestabilan harga dan permintaan.

Sebelum ini, media melaporkan pekebun khususnya di Tanah Tinggi Lojing, berdepan masalah lambakan sayuran sejak Januari lalu sehingga menyebabkan ada yang terpaksa membuang hasil tanaman sendiri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.