PBB digesa timbang permohonan tarik keluar MALBATT dari Lubnan

11 Apr 2026, 5:55 AM
PBB digesa timbang permohonan tarik keluar MALBATT dari Lubnan
PBB digesa timbang permohonan tarik keluar MALBATT dari Lubnan

SHAH ALAM, 11 APRIL: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu digesa mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk menilai semula penempatan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan susulan perubahan ketara situasi keselamatan di kawasan operasi.

Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia sebelum ini menyertai misi pengaman United Nations Interim Force in Lebanon yang berperanan sebagai pengantara antara pihak bertelagah, lapor Sinar Harian.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan semasa telah berubah apabila konflik semakin memuncak dan melibatkan pertempuran terbuka, sekali gus tidak lagi selari dengan mandat asal pasukan pengaman.

“Apabila kita hantar pasukan sertai UNIFIL, tujuannya adalah sebagai pasukan pengaman antara pihak bertelagah iaitu Israel dan Hezbollah supaya mereka tidak meneruskan peperangan.

“Tetapi hari ini keadaan telah bertukar, mereka berperang antara satu dengan yang lain dan ini bukannya mandat yang diberikan kepada MALBATT atau mana-mana pasukan lain yang sertai UNIFIL.

“MALBATT merupakan pasukan pengaman yang tidak mempunyai kelengkapan persenjataan sesuai untuk keadaan peperangan, sebaliknya mereka kini pihak terkesan dalam situasi semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelepasan Benih Udang Galah di Sungai Gembut, Tanjung Sedeli pada Sabtu.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi turut memaklumkan lebih 500 anggota MALBATT di Lubnan ketika ini diarahkan untuk kekal berada di dalam “bunker” dan tidak menjalankan sebarang rondaan buat sementara waktu.

“Permohonan telah dibuat Kementerian Luar. Kita di Kementerian Pertahanan menunggu keputusan. Jika keputusan kekal di situ, kita akan kekal. Jika dibenarkan pulang, kita akan pulang. Itu keputusan antara Kementerian Luar dan PBB, bukan pihak kita,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.