SHAH ALAM, 11 APRIL: Sebanyak 747 kes jenayah direkodkan sepanjang pelaksanaan Ops Selamat 25 dan 26 sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri baru-baru ini, berbanding 858 kes tahun lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menyifatkan penurunan itu disumbangkan peranan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang bertindak pantas mengawal keadaan.
"Peranan sebagai 'first responder' dalam sistem kawalan dan pencegahan jenayah bukan sahaja pantas, malah cerminan kesiapsiagaan yang menjalankan rondaan secara berkala ke atas 61,122 rumah sekali gus berjaya mengurangkan kes jenayah.
"Usaha murni Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKKK) ini turut disokong oleh aplikasi Volunteer Smartphone Petrol (VSP) yang kini merekodkan pendaftaran lebih 1.7 juta pengguna.
"Rekod sepanjang pelaksanaan Op Selamat menunjukkan 16,889 pengguna telah menggunakan modul pemakluman balik kampung berbanding 8,036 tahun sebelumnya iaitu peningkatan lebih sekali ganda," katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Op Selamat 25 dan 26 bagi tahun 2026 yang diadakan di Dewan Pengaman, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, malam tadi.
Dalam pada itu, Mohd Khalid menzahirkan kebimbangan apabila jumlah kemalangan dan kemalangan maut merekodkan peningkatan dalam kedua-dua operasi terbabit, berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, 9,934 kes kemalangan direkodkan berbanding 9,859 kes pada operasi sebelumnya, dengan kemalangan maut mencatatkan peningkatan hampir 17 peratus iaitu daripada 77 kes kepada 90 kes.
“144,726 saman dikeluarkan di seluruh negara dan secara perbandingan sepanjang Op Selamat 25 dan 26, angka berkenaan menunjukkan peningkatan 37,361 bersamaan 34.8 peratus berbanding 107,365 ketika Op Selamat 24.
"Justeru itu, saya menyeru pengguna jalan raya sentiasa beringat untuk mematuhi undang-undang, bersabar, memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan. Ingatlah, nyawa tiada galang gantinya," katanya.








