SHAH ALAM, 11 APRIL: Masyarakat kini mula mengambil pelbagai langkah penjimatan dalam kehidupan harian susulan kesan tidak langsung krisis Asia Barat yang menjejaskan kos logistik, harga barangan dan utiliti.
Situasi tersebut memberi kesan berbeza kepada pelbagai golongan termasuk peniaga dan pekerja yang perlu menyesuaikan perbelanjaan serta operasi harian.
Ahli perniagaan, Ahmad Ridhuan Abdullah, 44, berkata perniagaannya yang membekalkan barangan klinikal kepada hospital terkesan terutama peningkatan kos logistik.
Menurutnya, kos pengangkutan termasuk petrol dan diesel yang meningkat memerlukan penyusunan semula jadual penghantaran.

“Memang agak terkesan, terutama kos pengangkutan, petrol, diesel. Jadi kami susun semula jadual penghantaran dengan mengurangkan perjalanan lori.
“Biasanya kita kumpulkan pesanan dalam jumlah banyak dan hantar sekali gus ke beberapa negeri contoh kita hantar terus ke tiga negeri seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi menjimatkan kos, tidak perlu ulang-alik banyak kali,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Sementara itu, kakitangan swasta, Siti Haidah Md Zain, 58, berkata setakat ini situasi berkenaan tidak memberi kesan besar kepada dirinya kerana syarikatnya telah lama mengamalkan waktu kerja fleksibel.
“Sejak pandemik Covid-19, pejabat memang sudah amalkan tiga hari bekerja di pejabat dan dua hari dari rumah. Agak lega disitu sebab tempat kerja pun agak jauh di Kuala Lumpur.

“Cuma apabila lebih banyak masa di rumah, penggunaan elektrik meningkat, jadi kami cuba berjimat seperti mengehadkan penggunaan pendingin hawa,” katanya.
Bagi peniaga kuih-muih, Tengku Ahmad Tengku Abd Jalil, 56, kenaikan harga bahan mentah memberi cabaran dalam operasi perniagaan harian.
“Memang terasa apabila harga barang naik. Kita cuba membeli stok dalam kuantiti banyak untuk berjimat, namun pada masa sama perlu berhati-hati dengan tarikh luput dan hanya memilih barangan yang tempoh sahnya masih panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Azrin Osman, 46, berkata amalan kerja hibrid membantu menjimatkan kos minyak selain mengawal penggunaan elektrik di rumah.
“Saya tinggal berdua sahaja, jadi penggunaan elektrik tidak terlalu tinggi. Untuk cuci baju, kita kurangkan penggunaan mesin pengering dan lebih banyak sidai pakaian. Kita sendiri kena bijak mengurus perbelanjaan,” ujarnya.








